(397) Facebook Guru-Guru SKSM

Kepada semua guru & staf sokongan, jangan lupa log in & join laman berikut;




(396) Program Pendidikan Pencegahan Dadah

Penagihan dadah saling berkait rapat dengan jenayah. Selagi masalah penagihan dadah tidak dapat diatasi, maka banyak juga jenayah akan terus berlaku. Individu, keluarga, sekolah, pertubuhan agama, agensi kerajaan serta pihak swasta haruslah bekerjasama dalam usaha membendung gejala penyalahgunaan dadah dalam masyarakat kita.

Memandangkan pendidikan dan pencegahan merupakan kunci kepada kejayaan membanteras najis dadah di negara kita ini, maka SKSM tidak ketinggalan untuk memberi pemahaman kepada para pelajar tentang bahaya penggunaan dadah, fakta-fakta penting dadah,
kesan serta simptomnya di samping mengetahui dan memahami pengaruh negatif desakan rakan sebaya dan cara-cara menanganinya.

Pada hari Rabu, 14 April, SKSM menganjurkan Program Pendidikan Pencegahan Dadah di bawah kendalian Cgu Ainuddin. Seawal jam 08:00 diadakan ceramah anti dadah bertajuk “Dadah & Jenayah Musuh Negara“ yang disampaikan oleh pihak PDRM. Selepas rehat, diadakan pula pertandingan mewarna (Pra & Tahap 1) serta pertandingan melukis poster (Tahap 2) diikuti pertandingan menulis esei (Tahap 2). Acara bersambung pada sebelah petang iaitu pertandingan mendeklamasi sajak pada jam 03:00 dan tamat jam 05:00.

Berikutnya, pada hari Ahad 18 April diadakan pula majlis penutup. Di sebelah pagi, semua guru dan pelajar
berkumpul di Dataran Perhimpunan. Setelah doa dibacakan oleh Ustaz Kamaruzaman b. Awang, Tuan Guru Besar menyampaikan ucapan alu-aluan. Seterusnya ucapan perasmian penutup oleh En. Wan Salim b. Wan Ismail (PPDa, PPDKB). Berikutnya, acara bersambung dengan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan. Majlis tamat sejurus sebelum waktu Rehat Tahap 1.

(395) Sambutan Maulud 1431H


Pada hari ini, 10 Mac 2010 SKSM mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dengan tujuan untuk mengekalkan ingatan kita umat akhir zaman terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya untuk sama-sama mengenang, menghargai dan mengambil iktibar kisah suka duka perjuangan Rasulullah serta menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepada Rasulullah.

Pagi-pagi lagi murid-murid yang memakai baju melayu dan bersongkok (lelaki) atau berbaju kurung warna-warni (perempuan) beratur di hadapan kelas untuk ditanda kedatangan. Kemudian mereka berjalan menuju Dataran Bendera untuk mendengar taklimat oleh PK Pentadbiran, Tn. Hj. Zakaria b. Mat. Seterusnya mereka akan masuk ke dalam dewan untuk acara seterusnya. Pada waktu ini juga para guru, staf sokongan dan guru-guru KAFA sedang sibuk menyiang dan memasak daging dan nasi.

Di dalam dewan, acara dimulakan dengan bacaan doa oleh al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman b. Awang. Kemudian bermulalah pertandingan-pertandingan yang telah diatur iaitu Tilawah, Hafazan, Bercerita serta Azan dan Iqamah. Pada jam 10:00, murid-murid Tahap 1 akan keluar rehat. Sementara itu pertandingan diteruskan sehingga tamat pada jam 10:30. Pada waktu itu pelajar-pelajar Tahap 2 pula akan keluar rehat.

Jam 11:00, setelah semua murid Tahap 2 masuk ke dewan, acara disambung dengan ucapan Tuan Guru Besar diikuti dengan persembahan nasyid oleh Murid-murid Tahun 5A1 di bawah latihan dan tunjuk ajar Ust Zaiton dan Ust Arija Wardati. Majlis disambung dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Akhir sekali, pada jam 11:45, semua warga SKSM mengumandangkan selawat beramai-ramai. Majlis ditamatkan dengan acara terakhir iaitu jamuan makan.


Semoga kita semua beroleh syafaat pada hari akhirat kelak. Suka diulangi di sini, antara kelebihan-kelebeihan berselawat menurut kitab al-Safinah al-Qadiriyah dan kitab Hadaiq Al-Anwar ialah;
1. Mendapat ganjaran 10x selawat (rahmat) daripada Allah atas setiap selawat yang diucapkan,
2. Dikurniakan Allah 10x darjat atas setiap satu selawat,
3. Ditulis oleh malaikat 10 kebaikan dan dihapuskan 10 kejahatan atas setiap selawat
4. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.,
5. Mendapat keampunan Allah dan akan ditutup segala keaiban dan dukacita, 

6. Dikurniakan makam yang hampir kepada Rasulullah,
7. Sejahtera daripada huru-hara pada hari kiamat dan mendapat balasan syurga,
8. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa,
9. Terhindar dari fakir dan terpelihara dari sifat bakhil,
10. Dijauhkan daripada terlibat dalam majlis-majlis lagha,
11. Selamat semasa melintasi titisan sirat al-mustaqim,
12. Mendapat keberkatan Allah dan kesempurnaan iman,
13. Mendapat hidayah daripada Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah s.w.t.,
14. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. dalam jiwanya. 


InsyaAllah.
 

(394) Perjalanan Terakhir Nazariah (1987-2010)

Al-Fatihah. Seorang bekas murid SKSM batch UPSR'99, Nazariah bt. Zakaria (6 Rajin) telah kembali ke rahmatullah pd jam 11:45 mlm semalam di HUSM setelah 2 minggu koma di Wad ICU. Allahyarhamah sebelum itu hanya demam biasa selama seminggu sebelum dibawa ke hospital kerana dilihat seperti ada masalah pernafasan. Allahyarhamah yang pada mulanya disyaki dijangkiti H1N1 walau bagaimanapun disahkan negatif.



Saya beserta PK1 dan beberapa guru yang ada masa luang - Ust Man, Cgu Asri & Cgu Hj Jamil telah sempat menziarahinya di Kg. Pdg. Bemban pada jam 09:45am semalam dan sempat sama-sama menunaikan fardu kifayah solat jenazah.

Nazariah merupakan anak murid saya pada masa dia darjah 6 Rajin 11 tahun yang lalu. Allahyarhamah juga merupakan adik bongsu kepada Cgu Najib yang pernah mengajar di SKSM (kini di SK Manek Urai Baru). Saya masih ingat, allahyarhamah merupakan pelajar yang baik dan sangat pendiam ketika itu. Malah kalau cikgu buat lawak macam mana sekalipun, amat susah utk kita lihat dia tersenyum, padahal pada masa itu kawan-kawan yang lain ketawa bagai nak pecah kelas. Selepas SKSM beliau ke SMU Azhariah, Melor dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Iman, Malaysia Kampus Kusza, Terengganu.



Dan pada malam tadi, saya bersama Cgu Saufi dan Cgu Wan Shamsuddin sempat pula menghadiri majlis tahlil yang diadakan selama seminggu. InsyaAllah pada malam ini pun. Kepada rakan-rakan yang mengenali, sedekahkanlah bacaan al-Fatihah dan jika ada masa lapang, jom kita sama-sama bertahlil malam nanti.

(393) Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Ketereh

SKSM telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Program Juara Rakyat: Sambutan Maulidur Rasur Peringkat Parlimen Ketereh. Majlis bermula pada jam 07:00 petang apabila orang ramai mula memenuhi perkarangan sekolah.

Acara dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti jamuan makan. Kemudian, selesai solat Isyak diadakan pula majlis berzanji dan berselawat beramai-ramai seterusnya bacaan doa oleh Pengetua SMKA Melor, Ust Ramli b. Awang.

Seterusnya, pada jam 09:30 malam, diadakan pula ceramah mawalid yang disampaikan oleh Ust Rasidi b. Yasin, Penolong Pengarah Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, JPN Kelantan. Berikutnya ucapan alu-aluan oleh Tan Sri Annuar b. Hj. Musa, Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

Seterusnya, beliau turut menyampaikan hadiah-hadiah kecemerlangan kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR'09 (SK Melor & SK Sri Melor) serta PMR'09 (SMK Melor & SMKA Melor). Majlid diakhiri dengan persembahan puisi-puisi Islam dan marhaban. Majlis tamat pada jam 11:30 malam.

(392) Laporan Ringkas Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-34 oleh S/U

Oleh;
Cikgu Saufi 
(Setiausaha PIBG)


Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-34 berjalan dengan lancar mengikut agenda yang telah ditetapkan. Tepat jam 03:00 pm para ibu bapa telah mula berpusu-pusu membuat pendaftaran di kantin sekolah seterusnya mengarah ke dewan. Setelah para hadirin mula memenuhi ruang, dif-dif kehormat termasuklah Timbalan Pengarah JPP Kelantan.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust. Zakiyuddin diikuti ucapan alu-aluan oleh YDP PIBG, Tn. Hj. Nik Ab. Aziz b. Nik Mahmood. Seterusnya ucapan Tuan Guru Besar SKSM, En. Ismail b. Ibrahim selaku penasihat PIBG dan kemudiannya ucapan perasmian oleh YABrs. Timbalan Pengarah (Teknikal), Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan, Ir. Che Hassin b. Che Mud. Kemudian majlis diteruskan dengan penganugerahan hadiah kecemerlangan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam UPSR 2009 diikuti penyampaian cenderahati.

Seterusnya majlis disambung dengan Mesyuarat Agung PIBG SK Sri Melor Kali Ke-34. YDP PIBG telah menyampaikan ucapan ringkas diikuti dengan pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung yang lalu, Penyata Tahunan serta Penyata Kewangan.

Berikutnya YDP membubarkan AJK PIBG 2009 seterusnya melantik Pengerusi Sementara untuk mengendalikan pemilih AJK PIBG 2010. Setelah pemilihan dibuat, AJK yang baru dipilih mengambil tempat di hadapan untuk sesi membentang dan membahaskan usul. Akhir sekali, selepas agenda hal-hal lain, ucapan penangguhantelah dibuat oleh YDP. Majlis ditangguhkan pada jam 06:00 petang.



Saya dengan ini memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada semua kakitangan SKSM yang terlibat dengan mesyuarat ini atas kelancaran perjalanan mesyuarat. Sebelum mesyuarat lagi AJK pelaksanaan bertungkus lumus menyediakan perkara-perkara yang diperlukan semasa mesyuarat. Buku program mesyuarat misalnya, telah disiapkan dengan baik oleh Tn. Hj. Nik Azhar bersama saya. Begitu juga pentas dan dewan telah disiapkan oleh Tn. Hj. Masrof bersama AJKnya dan juga perhiasan pentas telah disempurnakan oleh Ustazah Zaziah dan AJKnya.

Mesyuarat pada kali ini dirasmikan oleh YABrs. Ir. Che Hassin b. Che Mud, Timbalan Pengarah (Teknikal) Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan mewakili En. Makhtar b. Mustapha, Pengarah JPP Kelantan.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir pada mesyuarat kali ini. Lebih 350 orang dianggarkan hadir pada mesyuarat tersebut. Buku program yang dicetak sebanyak 300 naskah telah habis diagih kepada ibu bapa. Kepada ibu bapa yang tidak berkesempatan memegang buku program, saya memohon ampun dan maaf kerana tidak mencetaknya dengan lebih banyak bagi menjimatkan kos. Lagipun saya tidak menjangkakan kehadiran ibu bapa yang begitu ramai. Kalau tahun lepas, buku program banyak berlebihan dan berlaku lambakan.

Pada mesyuarat kali ini juga, Hadiah Kecemerlangan UPSR diberikan kepada murid yang mencapai 5A dan 4A dalam UPSR 2009.


(391) Latihan Dalam Perkhidmatan

Pada tengah hari Rabu, 24 Februari 2009, para guru SKSM telah menikmati hidangan nasi kukus Kak Nee dengan begitu berselera sekali. Setelah selesai menjamu selera, tepat jam 02:30pm semua staf akademik mula memenuhi ruang di Bilik Gerakan untuk mengikuti Program Peningkatan Kecemerlangan Akademik yang disampaikan oleh Tn. Hj. Wan Zakaria b. Wan Ismail dari Sektor Jaminan Kualiti, JPN Kelantan. Program berakhir pada jam 04:30pm. 

(390) Datanglah Beramai-Ramai ke Mesyuarat Agung PIBG

Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Melor akan mengadakan Mesyuarat Agung tahunannya pada jam 03:00 petang Khamis, 25 Februari 2010 ini. Notis mesyuarat telah dikeluarkan pada 7 Februari lalu dan telah diedarkan bersama-sama dengan borang khas sekiranya ada usul-usul yang ingin dimajukan.

Dalam program tersebut juga akan diadakan penyampaian anugerah kecemerlangan UPSR 2009. Sehubungan dengan itu, semua ibu bapa diminta meluangkan masa menghadirkan diri memandangkan majlis ini merupakan medan terbaik untuk memberi cadangan, bermuafakat, meluahkan rasa tidak puas hati dsb. dengan bersemuka dan berbincang dari hati ke hati dengan pihak PIBG dan pihak sekolah.

(389) Solat Hajat UPSR

Kenderaan para guru dan ibu bapa yang memenuhi setiap ruang menandakan kehadiran yang menggalakkan

Pada pagi Jumaat, 5 Februari baru-baru ini, tatkala mentari baru saja menampakkan wajahnya, guru-guru SKSM serta para ibu bapa murid-murid Tahun 6 telah tiba di pekarangan sekolah dan kemudiannya menapak menuju Musalla.
 
(1) Sehingga setengahnya terpaksa 'parking' di luar pagar (2) Ketibaan YDP PIBG (3) Di antara guru2 yang hadir. Cgu Lee bertugas bertugas di bahagian siaraya manakalah Cgu Wan Lah untuk persembahan Powerpoint (laptop & projektor LCD) (4) Yang DiPertua PIBG, Tn. Hj. Nik Aziz (5) Cgu Hjh Faizah bersama rakan2 menyediakan minuman

Tepat jam 8 pagi, dengan rendah hati para hadirin dengan berimamkan Ust Kamaruzaman telah bangun mendirikan solat hajat memohon yang terbaik untuk sekolah dan anak-anak masing-masing dalam UPSR kelak.


Solat hajat diimamkan oleh Ust Kamaruzaman

Bacaan doa

Seusai solat, bacaan surah Yasin pula dikumandangkan diikuti dengan memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t.


Bacaan Yasin

Ceramah Tuan Guru Besar

Agenda berikutnya, Tuan Guru Besar menyampaikan taklimat yang lebih berbentuk muhasabah dengan tajuk "Beberapa Kesilapan Dalam Mendidik Anak". Pada waktu itu juga, para guru wanita bekerjasama menyediakan minuman ringan bersandarkan kuih-kuih yang dibawa oleh para guru dan ibu bapa. Selesai majlis, masing-masing menuju ke bangunan sebelah untuk menikmati jamuan ringkas.


Solat hajat diadakan bermula pada awal tahun kerana menginsafi betapa kita digalakkan berdoa sepanjang masa, malah kita jua tidak tahu doa kita yang mana satukah yang akan diterima dan dimakbul oleh-Nya. Sebagaimana Nabi Adam a.s yang terpisah dengan Hawa setelah diturunkan ke muka bumi ini, saban hari mereka berdoa sehinggalah doa mereka dikabulkan apabila mereka ditemukan semula di Jabal Rahmah, itupun setelah beratus-ratus tahun terpisah. Begitu jugalah kita, walaupun UPSR masih berbaki kurang lebih 225 hari, namun panjatkanlah doa bermula dari hari ini, insyaAllah.

(388) Majlis Penyampaian Watikan Pelantikan Pengawas

Dilaporkan Oleh:
Siti Murihah, 6A1


Mentari pagi Ahad, 31 Januari yang menumpahkan sinarnya pada pagi itu telah menyaksikan 196 orang murid telah dilantik dan diberi pengiktirafan untuk menjalankan tugas-tugas membantu pihak sekolah menjalankan pengawasan dan penguatkuasaan. Mereka terdiri daripada 86 Pengawas, 50 Perpustakawan (Pengawas PSS), 30 Ketua Kelas & 30 Penolong Ketua Kelas.

Sebaik sahaja murid-murid selesai menyanyikan rangkaian 3 buah lagu, kelihatan sebuah kereta polis tiba di perkarangan sekolah. Kedatangan 2 pegawai polis disambut oleh Tuan Guru Besar, Guru-Guru Penolong Kanan serta Guru Kanan Disiplin. Mereka ialah Chief Inspektor Azhar b. Mohamad (Ketua Balai Kubang Kerian) diiringi oleh Koperal Zainal b. Abidin Abdul Rahman (Balai Polis Melor).

Tenang mengikuti program pelantikan Pengawas

Bacaan doa memohon keberkatan dalam majlis

Majlis yang dipengerusikan oleh Cgu Rozman b. Ibrahim itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust Kamaruzaman b. Awang diikuti ucapan alu-aluan oleh Tuan Guru Besar, En. Ismail b. Ibrahim. Beliau mengakui Pengawas memainkan peranan penting terutama dalam mengawal murid. Sijil Pelantikan yang akan disampaikan nanti adalah bernilai dan dapat membantu dalam memohon kemasukan ke sekolah berasrama penuh nanti. Beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Disiplin merangka 1 lawatan sama ada bertemakan anti dadah, kerjaya mahupun kepolisan.

Tuan Guru Besar

Ucapan perasmian

Bersedia untuk dipanggil ke hadapan

Seterusnya ucapan perasmian oleh Chief Inspektor Azhar. Banyak kata-kata nasihat yang disampaikan, di antaranya Pengawas perlu berani menegur, berani bertindak, menjadi mata kepada pihak sekolah. Beliau turut menyentuh tentang pelanggaran undang-undang oleh para pelajar termasuklah jenayah juvana & di jalan raya.

Dataran Bendera SKSM

Para Pengawas dan Perpustakawan

Penyampaian watikah untuk Ketua Kelas

Penyampaian watikah bagi Perpustakawan

Barisan Pengawas yang menerima watikah pelantikan

Kemudian, beliau bersama Tuan Guru Besar menyempurnakan penyampaian watikah pelantikan dan akhir sekali, majlis bergambar diadakan. Para dif kemudiannya dibawa ke kantin untuk menjamah hidangan yang disediakan.
Lafaz ikrar untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah
Penyampaian cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan

Bergambar bangga bersama watikah pelantikan masing-masing

Hidangan nasi dagang


PENGAWAS SEKOLAH

Penyelaras:
Cgu Mohd. Ainuddin b. Abdullah
(Guru Disiplin)

Ketua Murid:
Muhammad Ali b. Mohd. Hasni

Penolong Ketua Murid I:
Nur Anis Fatihah bt. Saiful Azwal

Penolong Ketua Murid II:
Siti Murihah bt. Ilias Shukri

Bilangan Pengawas:
L=33, P=53 (Jumlah = 86 orang)





PERPUSTAKAWAN
Penyelaras:

Cgu Suria bt. Ismail
(Penyelaras Pusat Sumber)

Ketua Perpustakawan:

Muhammad Aidiel Amri b. Yusof

Penolong Ketua I:
Muhammad Irfan b. Hj. Sauti

Penolong Ketua II:
Nur Athirah bt. Zulbahri

Bil. Perpustakawan:
50 orang

Sebahagian guru wanita yang mengikuti perjalanan majlis


Cgu Saufi sebagai jurufoto


Cgu Aniza membetulkan tanda nama salah seorang penerima watikah


Cgu Hj Mokhjamil terlalu asyik mendengar ucapan sampai tak sedar mulut terbuka

(387) Majlis Perjumpaan Ibu Bapa Murid-Murid Tahun 6

Pada petang Khamis, 28 Januari baru-baru ini, diadakan 1 program yang menghimpunkan para ibu bapa & penjaga murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada tahun ini. Program dimulakan dengan pembentangan analisis UPSR 2009 yang terdiri daripada analisis pencapaian am, analisis mata pelajaran serta nilai mula (TOV) sebagai anak tangga pertama bagi murid-murid Tahun 6 tahun ini.

Di samping itu, Penolong Kanan 1, Tn. Hj. Zakaria b. Mat dengan dibantu oleh S/U UPSR, Cgu Asmadera bt. Mat Esa turut mengetengahkan target yang disasarkan untuk dicapai dalam UPSR'10 nanti di samping menyenaraikan 56 pelajar target 5A beserta TOV masing-masing untuk tatapan ibu bapa.

Seterusnya, beliau mengemukakan cadangan-cadangan pihak sekolah dalam menghadapi UPSR di samping memohon kerjasama, sokongan dan bantuan daripida pihak ibu bapa. Di antara program dan kos yang diperlukan ialah;
a) Persediaan bahan pembelajaran (fotostat, risograf & buku aktiviti)
b) Program Motivasi: RM150 x 4 subjek
c) Perjumpaan ibu bapa & guru Tahun 6
d) Kelas Tambahan Petang: Ahad-Selasa (01:45-03:15), RM10 x 20 guru x 28 minggu
e) Kelas Tambahan Malam: Ahad-Rabu(08:15-10:15), RM30/bulan
f) Lawatan ke Sekolah Berasrama Penuh: RM5 x 182 murid
g) Ceramah Teknik Menjawab Soalan: RM150 x 4 subjek
h) Kem Motivasi di Sri Permai Resort
i) Kem Khemah Ibadat pada hujung minggu
j) Program Motivasi Keibubapaan
k) Kelas Intensif (semasa cuti)
l) Klinik UPSR
m) Majlis Solat Hajat (setiap petang Khamis)
n) Majlis Solat Hajat Perdana
o) Kelas Kristal (untuk murid-murid target)
p) Majlis Restu Ilmu 

(386) Tahniah Atas Pelantikan & Penempatan Sebagai Guru Siswazah DG41


Oleh:  Cgu Saufi
     

Saya secara peribadi mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga orang guru ini iaitu Cikgu Nik Azhar, Cikgu Zarinawati dan Cikgu Nor Aswarz. Beliau telah dilantik secara rasminya menjadi Guru Siswazah.

Kepada Cikgu Nik Azhar yang memberi kepercayaan kepada saya dalam menguruskan blog sekolah ini sekiranya beliau ditempatkan ke sekolah lain, saya ucapkan terima kasih. Kepercayaan yang diberikan itu adalah suatu yang bermakna tetapi mampukah saya menguruskan blog sekolah kerana saya tidak mempunyai ilmu yang mencukupi dalam urusan berblog, lagipun saya juga mempunyai blog sendiri. Mungkin saya kesuntukan masa untuk menguruskan blog sekiranya lebih daripada satu. Saya tidak pandai mengatur ayat-ayat seperti cikgu Nik Azhar malahan dalam menulis berita atau cerita saya tidak berpengalaman dan masih mentah. Bila nak masak, saya pun tidak tahu???

Walau bagaimanapun saya berharap ketiga-tiga guru ini ditempatkan di sini juga. InsyaAllah.

*********

SALAM PENGENALAN DARI SAYA
Inilah pertama kali saya menulis di blog ini. Sekiranya ada kekurangan, beritahu dan bantulah saya.

- Guru Pemulihan Sri Melor

(385) Guru ICT Tak Senang Duduk

Besok, 28 Jan. 2010, 3 orang guru sekolah ini akan menghadiri Taklimat Pelantikan dan Penempatan Guru-Guru PJJ bertempat di PSPN, Pengkalan Chepa. Mereka ialah guru-guru yang telah menamatkan pembelajaran di peringkat ijazah di OUM iaitu Cgu Nik Azhar, Cgu Zarinawati & Tcr Nor Aswarz.

Apa yang menggerunkan ialah dalam tajuk taklimat tersebut tertera perkataan PENEMPATAN yang pastinya membuatkan sesorang yang berisiko menjadi kecut perut. Mereka yang berisiko pastinya seorang guru lelaki yang berusia 45 tahun ke bawah. Yang pasti, dalam kalangan mereka bertiga, hanya Cgu Nik Azhar sahajalah lelaki, malah berusia belum menjangkau 45 tahun. Walau apapun, hanya doa yang dipanjatkan agar kami semua ditempatkan kembali di sekolah ini.

Sebagai persediaan, Cgu Nik telahpun menyenaraikan Cgu Saufi sebagai penulis blog bagi menggantikan beliau sebagai langkah berjaga-jaga, kalau-kalau sesuatu yang tidak diingin berlaku.

(384) Gotong-Royong Perdana



Hari ini, Sabtu 23 Januari diadakan Program Gotong-Royong Perdana yang melibatkan semua guru, staf sokongan & murid-murid SKSM. Tepat jam 07:45am, semua warga SKSM berkumpul di Dataran Bendera. Selepas menyanyi rangkaian 3 buah lagu, bendera diturunkan separuh tiang bagi menghormati kemangkatan Sultan Johor.



PK Ko, En. Omar menyampaikan taklimat ringkas bagi mengagihkan kawasan kepada kelas-kelas serta guru-guru yang bertugas. Seusai perhimpunan, guru-guru kelas memandu murid masing-masing ke tempat-tempat yang dikhaskan, misalnya Tahun 1A1, 1A2, 4A4 & 6A1 ke padang sekolah. Ada kelas yang ditugaskan untuk membersihkan Dataran Bendera, kawasan kantin, kawasan kolam, sekeliling blok-blok bangunan, kawasan Musalla, kawasan Makmal Komputer & Prasekolah serta dalam kawasan tangki air.


Guru-guru yang lain yang tidak memegang kelas pula diberi tugas membersihkan bilik-bilik khas. Misalnya, Cgu Hj. Mokhjamil mengetuai kumpulan yang mengandungi 3 orang guru dan beberapa orang pekerja lelaki ditugaskan membersih tandas lama & Bilik ABM di Blok B. Cgu Hj. Masrof pula mengetuai tugas-tugas pembersihan di tandas lama & Bilik Masakan di Blok A. Pn. Asmadera pula menjadi ketua untuk pembersihan di Bilik KH manakala Cgu Suria dengan kerjasama guru-guru AJK PSS bertugas di Bilik PSS.


Di Bilik Sukan, Ust Kamaruzaman & konco-konco bertugas sementara Cgu Ainudin beserta 4 orang guru bertugas di gelanggang bola jaring. Cgu Nik Azhar pula dengan 2 orang teacher mengetuai tugas-tugas membersihkan Makmal Komputer manakala Cgu Aniza dengan yang lain bertugas di Bilik Rawatan & Makmal Sains.


Sementara itu di Makmal Komputer, sebaik sahaja tugas-tugas membersih dijalankan, Guru Penyelaras ICT diminta mengadakan kursus ringkas (sebagai ulangan) kepada guru-guru Bahasa Inggeris tentang cara-cara menggunakan Makmal Komputer serta menghidup dan menggunakan peralatan ICT untuk tujuan kelas ICTL yang akan berjalan semula pada bulan Februari nanti.

Murid-murid Tahap 1 rehat pada jam 09:45am manakala Tahap 2 setengah jam berikutnya. Selepas rehat, p&p berjalan seperti biasa mengikut jadual hari Rabu. Selepas membuat tinjauan didapati kawasan sekolah bertambah bersih dan ceria menjadikan para pengguna dan pengunjung lebih seronok, ceria dan mudah tersenyum.