(395) Sambutan Maulud 1431H
Pada hari ini, 10 Mac 2010 SKSM mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dengan tujuan untuk mengekalkan ingatan kita umat akhir zaman terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya untuk sama-sama mengenang, menghargai dan mengambil iktibar kisah suka duka perjuangan Rasulullah serta menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepada Rasulullah.
Pagi-pagi lagi murid-murid yang memakai baju melayu dan bersongkok (lelaki) atau berbaju kurung warna-warni (perempuan) beratur di hadapan kelas untuk ditanda kedatangan. Kemudian mereka berjalan menuju Dataran Bendera untuk mendengar taklimat oleh PK Pentadbiran, Tn. Hj. Zakaria b. Mat. Seterusnya mereka akan masuk ke dalam dewan untuk acara seterusnya. Pada waktu ini juga para guru, staf sokongan dan guru-guru KAFA sedang sibuk menyiang dan memasak daging dan nasi.
Di dalam dewan, acara dimulakan dengan bacaan doa oleh al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman b. Awang. Kemudian bermulalah pertandingan-pertandingan yang telah diatur iaitu Tilawah, Hafazan, Bercerita serta Azan dan Iqamah. Pada jam 10:00, murid-murid Tahap 1 akan keluar rehat. Sementara itu pertandingan diteruskan sehingga tamat pada jam 10:30. Pada waktu itu pelajar-pelajar Tahap 2 pula akan keluar rehat.
Jam 11:00, setelah semua murid Tahap 2 masuk ke dewan, acara disambung dengan ucapan Tuan Guru Besar diikuti dengan persembahan nasyid oleh Murid-murid Tahun 5A1 di bawah latihan dan tunjuk ajar Ust Zaiton dan Ust Arija Wardati. Majlis disambung dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Akhir sekali, pada jam 11:45, semua warga SKSM mengumandangkan selawat beramai-ramai. Majlis ditamatkan dengan acara terakhir iaitu jamuan makan.
Semoga kita semua beroleh syafaat pada hari akhirat kelak. Suka diulangi di sini, antara kelebihan-kelebeihan berselawat menurut kitab al-Safinah al-Qadiriyah dan kitab Hadaiq Al-Anwar ialah;
1. Mendapat ganjaran 10x selawat (rahmat) daripada Allah atas setiap selawat yang diucapkan,
2. Dikurniakan Allah 10x darjat atas setiap satu selawat,
3. Ditulis oleh malaikat 10 kebaikan dan dihapuskan 10 kejahatan atas setiap selawat
4. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.,
5. Mendapat keampunan Allah dan akan ditutup segala keaiban dan dukacita,
6. Dikurniakan makam yang hampir kepada Rasulullah,
7. Sejahtera daripada huru-hara pada hari kiamat dan mendapat balasan syurga,
8. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa,
9. Terhindar dari fakir dan terpelihara dari sifat bakhil,
10. Dijauhkan daripada terlibat dalam majlis-majlis lagha,
11. Selamat semasa melintasi titisan sirat al-mustaqim,
12. Mendapat keberkatan Allah dan kesempurnaan iman,
13. Mendapat hidayah daripada Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah s.w.t.,
14. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. dalam jiwanya.
InsyaAllah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan