SEJARAH SKSM

Idea penubuhan sekolah ini telah dicetuskan oleh seorang tokoh tempatan iaitu Tuan Haji Wan Ismail bin Wan Mahmood, bekas Penggawa Daerah Gunung Barat, Bachok yang telah menubuhkan satu jawatankuasa penaja untuk melaksanakan urusan penubuhan dan pendaftaran SRJK (Inggeris) Melor pada tahun 1958. Beberapa siri rundingan telah dijalankan dengan pihak-pihak tertentu sejak dari zaman Ketua Pegawai Pelajaran Kelantan, Mr. D. Bannet hinggalah kepada Mr. C. Stowe dan Mr. J.A. Mc Gumiskey.

Pada 02.01.1961, SRJK (Inggeris) Melor telah dibuka dengan rasminya di bawah pentadbiran Guru Besar, En. Hussain b. Yusoff yang berkelulusan Maktab Perguruan Kirby, England dengan menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Melor sebagai persekolahan sesi petang. Sesi pertamanya terdiri daripada murid seramai 119 orang yang diagihkan kepada 3 kelas dengan tenaga pengajarnya hanya seramai 5 orang sahaja termasuk Guru Besar. Kemudian pada tahun 1963, SRJK (Inggeris) Melor telah berpindah ke bangunan Sekolah Arab Melor yang terletak bersebelahan Masjid Melor sekarang dengan nama barunya Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Melor dan pada tahun 1980 barulah SRK Melor berpindah ke tapak bangunan yang ada sekarang.

Berikutan Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia, Bil.1/1997/KP(BS)8591/jld.vii (46) bertarikh 02.01.1996 yang menyatakan bahawa semua Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) telah dimansuh dan diubah menjadi Sekolah Kebangsaan (SK) maka mesyuarat AJK PIBG telah memutuskan nama SRK Melor diubah kepada SK Sri Melor dan bukannya SK Melor kerana nama tersebut telah sedia dipakai oleh sebuah sekolah di sini. Pada hari ini, SK Sri Melor mempunyai 5 blok bangunan dengan 29 buah kelas, lengkap dengan bangunan makmal komputer, makmal j-Qaf, prasekolah dan sebuah surau. Bilangan murid juga telah mencecah 1050 orang dengan gurunya seramai 59 orang dan bilangan staf sokongan 10 orang.

Tiada ulasan:

Catat Komen