(379) Hidup Lebih Manis Tanpa Gula

Sedutan daripada Khutbah Jumaat JAKIM,
15 Januari 2010 / 29 Muharram 1431H




Umat Islam merupakan umat terbaik dalam semua cara hidup termasuk dalam bidang menjaga kualiti kehidupan. Kualiti hidup yang baik membolehkan kita merancang dan melaksanakan aktiviti secara berkesan kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat. Malah kualiti hidup yang baik memberi kesempurnaan dan kekhusyukkan kita beribadah kepada Allah SWT. Makanan menjadi faktor penting dalam mempengaruhi kualiti hidup.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 172, maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan halal yang baik dan berzat. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur’an al-A’zim, makanan yang baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal. Walau bagaimana pun salah satu bahan makanan yang menjejaskan dan membahayakan kualiti hidup ialah gula.

Penggunaan gula menjadi penyebab utama seseorang mengidap kencing manis. Penyakit kencing manis secara ringkasnya berpunca daripada kadar gula yang agak tinggi dalam darah menyebabkan jentera badan kita seperti pembuluh darah dan pankreas tidak dapat lagi mengawal penggunaan gula secara normal. Berdasarkan kajian, didapati kebanyakan pesakit kencing manis tidak menyedari dirinya mengidap kencing manis sehinggalah beberapa tahun sebelum penyakitnya di kesan. Apa yang membimbangkan pakar perubatan ialah lebih lama seseorang itu mengidap kencing manis, maka lebih tinggi risiko untuk mendapat penyakit-penyakit kronik lain seperti darah tinggi, kebutaan, kegagalan buah pinggang, stroke dan sakit jantung. Mereka yang mengidap penyakit kencing manis dan penyakit kronik yang lain juga mengalami kemurungan hidup kerana kualiti hidup mereka terjejas teruk dan penyakit ini akan diwarisi oleh keturunannya.

Mengikut laporan Persatuan Daibetes Malaysia pada tahun 2009 dianggarkan di seluruh dunia terdapat kira kira 250 juta pesakit kencing manis dan pengidap penyakit ini akan mencapai 350 juta orang menjelang tahun 2025. Di negara kita, sehingga tahun 2009 pesakit kencing manis kini mencecah 1.2 juta orang. Menjelang tahun 2020 pula dijangkakan terdapat seramai 5 juta orang rakyat negara ini mengidap penyakit kencing manis jika pengidap kencing manis dan mereka yang berpotensi tidak mengambil langkah pencegahan.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana kita boleh mengawal dan mengelak terkena penyakit kencing manis yang amat meletihkan manusia itu? Langkah paling berkesan dalam pencegahan dan merawat kencing manis ialah mengurangkan pengambilan gula. Selain daripada pengurangan pengambilan gula, perlu banyak memakan sayur sayuran, buah buahan,ulam-ulaman, mengelak daripada makanan yang berkolesterol serta lemak yang tinggi dan mengamalkan aktiviti latihan jasmani serta mematuhi nasihat pegawai perubatan.

Gula adalah antara keperluan asas yang digunakan dalam kehidupan seharian. Kebanyakan makanan atau minuman menggunakan gula bertujuan untuk mengubah rasa. Gula juga merupakan sumber tenaga kepada tubuh manusia. Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia secara purata setiap rakyat Malaysia mengambil 27 sudu teh gula sehari berbanding keperluan yang menyihatkan sebanyak 10 sudu teh gula sehari termasuk yang ada dalam makanan.

Pada 1 Januari lalu harga gula telah dinaikkan 20 sen menjadikan harga gula sekarang di negara ini RM1.65/kg. Kita perlu ingat negara kita banyak membeli gula daripada luar negara bagi menampung keperluan gula yang semakin meningkat di negara ini. Harga gula dinaikkan kerana menampung kenaikan harga gula mentah di pasaran dunia yang ditentukan oleh negara pengeluar dan perlumbaan permintaan pengguna sendiri. Dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat menghadapi kenaikan harga gula tahun 2010, pihak berkuasa masih lagi berusaha membantu menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen/kg. Tidak pasti berapa lama kerajaan berkemampuan dan boleh bertahan dengan menyediakan subsidi dalam pelbagai barangan utama dan asasi rakyat ini.

Berdasarkan pemerhatian, putaran kenaikan harga barangan sama ada di pasaran tempatan dan dunia kebanyakannya sentiasa naik dari setahun ke setahun kerana permintaan dan pertambahan pengguna dunia. Oleh itu selari dengan putaran kenaikan keperluan khususnya barangan impot seperti gula dan lain-lain keperluan utama, maka kita hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kesan global kenaikan harga di pasaran dunia. Hakikatnya mengurangkan penggunaan gula membantu kita mengawal dan mengelakkan penyakit yang berkaitan dengan penggunaan gula seperti kencing manis. Selain itu ia turut membantu meringankan beban kerajaan dengan mengelak mengimport gula melebihi keperluan sebenar dan membentuk pengguna yang berhemah serta bertimbang rasa.

Nikmat kesihatan adalah raja dalam kehidupan. Oleh itu, hiasilah hidup kita dengan keceriaan dan amalkan hidup yang manis tanpa gula. Akhir sekali, marilah kita bimbing anak-anak kita dan keluarga kita meningkatkan kualiti hidup dan mengambil berat tentang kualiti makanan khususnya mengurangkan penggunaan gula secara berlebihan.

Dalam usaha mengekalkan hidup sihat dan hidup ceria, marilah kita mengambil langkah-langkah berikut;
1) Wajib memelihara kesihatan diri agar dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna;
2) Gula bertindak sebagai racun jika penggunaannya berlebihan,
3) Amalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat iaitu hendaklah berjaga-jaga dengan makanan yang diambil,
4) Perbanyakkan latihan jasmani; dan
5) Umat Islam dituntut bersederhana dalam semua perkara.

Sebagai peringatan tentang penggunaan makanan yang berlebihan dan melampau kita hayati firman Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 31, maksudnya:
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan