(362) Perhimpunan Khas

Pada pagi ini diadakan perhimpunan khas di perkarangan Dataran Bendera. Perhimpunan dimulakan dengan ucapan oleh Tuan Guru Besar diikuti dengan pengumuman cuti peristiwa dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena sambutan kemerdekaan peringkat sekolah. Seterusnya, pengagihan wang zakat dan sedekah kepada murid-murid yatim, yatim piatu serta anak-anak yang ibu bapanya OKU.

Sewaktu mengambil gambar mereka ini, tiba-tiba hati saya tersentuh dan begitu sayu sekali apabila mengenangkan nasib mereka. Tanpa diundang, air mata seorang lelaki perkasa jatuh juga ketika itu tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Pelbagai perasaan yang sukar digambarkan bercampur baur ketika itu (dan ketika ini). Betapa nasib mereka ditentukan begitu. Jarang sekali kita melihat di sekeliling kita. Jarang sekali kita terfikir bahawa betapa ramainya anak kecil yang hidup susah dan melarat selepas ibu atau bapa mereka meninggal dunia.

Andai mereka kehilangan bapa, ibu mereka juga hidup menderita mengerah tulang empat kerat tanpa mengenal siang malam demi memastikan meja makan ada hidangan buat pengalas perut. Tak kurang juga anak-anak yatim yang terpaksa diletakkan di bawah seliaan rumah kebajikan kerana si ibu tiada daya untuk menyediakan tempat tinggal dan makanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan