(363) Ribut di Kelantan

Kejadian ribut jam 03:30 petang semalam melanda hampir seluruh negeri Kelantan. Tragedi tersebut menggemparkan orang ramai kerana walaupun ia berlaku tidak sampai setengah jam tetapi banyak harta benda yang rosak termasuklah kereta-kereta rosak dan kemek akibat dahan-dahan pokok yang patah, buah-buah kelapa yang gugur, barang-barang berterbangan termasuk kerusi dan tong sampah serta papan tanda jalan terbalik serta bumbung rumah diterbangkan angin di kebanyakan tempat.

Di kampung saya sendiri, selain dari jalan-jalan dipenuhi daun-daun dan buah-buah kelapa serta dahan-dahan yang runtuh, sebatang pokok getah tumbang berhampiran rumah Cgu Nor Rozian. Pokok tersebut bukan sahaja menghalang perjalanan dari Peringat ke Pasir Ara, malahan turut menimpa dawai elektrik menyebabkan ianya terjuntai di kawasan sekitar. Bukan itu sahaja, dawai yang menegang turut menarik sebatang tiang elektrik tumbang di depan kedai Paksu Mat dan menimpa vannya yang diletakkan di hadapan kedai menyebabkan ia kemik dan rosak teruk.

Kejadian ini turut mengorbankan seorang remaja perempuan, Nurul Ain Ibrahim, 19, ditimpa sebatang pokok yang patah secara tiba-tiba ketika ia cuba mencari tempat berteduh daripada ribut di Pantai Kemayang, Bachok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan