(320) Haramkah Merokok??? (i)


Rokok terbukti mengandungi berbagai-bagai jenis kimia bahaya, antaranya nikotin. Menurut ahli kimia, nikotin yang terdapat di dalam setiap batang rokok adalah sejenis kimia memabukkan yang diistilahkan sebagai candu. Mengikut syara’, setiap yang memabukkan apabila dimakan, diminum, dihisap atau disuntik pada seseorang maka ia di kategorikan sebagai candu atau dadah kerana pengertian atau istilah candu adalah suatu bahan yang telah dikenalpasti boleh memabukkan atau mengandungi elemen yang boleh memabukkan.

Dalam mengklasifikasikan hukum candu atau bahan yang memabukkan, jumhur ulama fikah yang berpandu kepada syara’ (al-Quran dan al-Hadith) sepakat memfatwakannya sebagai benda "haram untuk dimakan atau diminum malah wajib dijauhi atau ditinggalkan". Pengharaman ini adalah jelas dengan berpandukan kepada hujah-hujah atau nas-nas dari syara’ sebagaimana yang berikut ini:

"Setiap yang memabukkan itu adalah haram"
(Riw. Muslim)
Hadis ini dengan jelas menegaskan bahawa setiap apa sahaja yang memabukkan adalah dihukum haram. Kalimah kullu di dalam hadis ini bererti "setiap" yang memberi maksud pada umumnya, semua jenis benda atau apa sahaja benda yang memabukkan adalah haram hukumnya. Hadis ini dikuatkan lagi dengan hadis berikut;

"Setiap sesuatu yang memabukkan maka bahan tersebut itu adalah haram"
(Riw. al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Hadis di atas menyatakan dengan cukup terang bahawa setiap apa sahaja yang boleh memabukkan dihukum haram. Pada hadis ini juga Nabi Muhammad s.a.w menggunakan kalimah kullu iaitu "setiap apa sahaja", sama ada berbentuk cecair, pepejal, debu (serbuk) atau gas. Mungkin ada yang menolak kenyataan atau nas di atas ini kerana beralasan atau menyangka bahawa rokok itu hukumnya hanya makruh, bukan haram sebab rokok tidak memabukkan. Mungkin juga mereka menyangka rokok tidak mengandungi candu dan kalau adapun kandungan candu dalam rokok hanya sedikit. Begitu juga dengan alasan yang lain, "menghisap sebatang rokok tidak terasa memabukkan langsung". Andaian, alasan atau sangkaan seperti ini boleh diselesaikan dengan berpandukan kepada hadis;

"Apa sahaja yang pada banyaknya memabukkan, maka pada sedikitnya juga adalah haram".
(Riw. Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan