(321) Haramkah Merokok??? (ii)

(.....sambungan)
Kalau meneguk segelas arak hukumnya haram kerana ia benda yang memabukkan, maka walau setitis arak sekalipun hukum pengharamannya tetap sama dengan segelas arak. Begitu juga dengan seketul candu atau sebungkus dadah yang dihukum haram. Secebis candu atau serbuk dadah yang sedikit juga telah disepakati oleh sekalian ulama Islam dengan memutuskan hukumnya sebagai benda yang dihukumkan haram untuk dimakan, diminum, dihisap atau disuntik pada tubuh seseorang jika tanpa ada sebab tertentu yang memaksakan atau keperluan yang terdesak seperti darurat kerana rawatan dalam kecemasan.

Begitulah hukum candu yang terdapat di dalam sebatang rokok. Walaupun sedikit ia tetap haram kerana dihisap tanpa adanya sebab-sebab yang memaksa. Di dalam sepotong hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad s.a.w telah mengkategorikan setiap yang memabukkan itu sebagai sama hukumnya dengan hukum arak. Seorang yang benar-benar beriman dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w tentulah meyakini bahawa tidak seorangpun yang layak untuk menentukan hukum halal atau haramnya sesuatu perkara dan benda kecuali Allah dan Rasul-Nya. Tidak seorang pun berhak atau telah diberi kuasa untuk mengubah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah melalui Nabi dan Rasul-Nya kerana perbuatan ini ditakuti boleh membawa kepada berlakunya syirik tahrif, syirik ta'til atau syirik tabdil.

Hadis yang mengkategorikan setiap yang memabukkan sebagai arak sebagaimana yang di dimaksudkan ialah;

"Setiap yang memabukkan itu adalah arak dan setiap (yang dikategorikan) arak itu adalah haram"
(Riw. Muslim)

Dalam perkara ini ada yang berkata bahawa rokok itu tidak sama dengan arak. Mereka beralasan bahawa rokok atau tembakau itu adalah dari jenis lain dan arak itu pula dari jenis lain yang tidak sama atau serupa. Memanglah rokok dan arak tidak sama pada ejaan dan rupanya, tetapi hukum dari kesan bahan yang memabukkan yang terkandung di dalam kedua-dua benda ini (rokok dan arak) tidak berbeza di segi syara’ kerana kedua benda ini tetap mengandungi bahan yang memabukkan dan memberi kesan yang memabukkan kepada pengguna atau penagihnya. Tidak kira sedikit atau banyaknya kandungan yang terdapat atau yang digunakan, yang menjadi perbincangan hukum ialah bendanya yang boleh memabukkan, sama ada dari jenis cecair, pepejal, serbuk atau gas apabila nyata memabukkan sama ada kuantitinya banyak atau sedikit maka hukumnya tetap sama, iaitu haram sebagaimana keterangan dari hadis sahih di atas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan