Ia berlaku begitu pantas, tanpa sebarang amaran. Apa yang terlintas di hati saya semasa lelaki itu berpusing dan meragut beg ialah: ''Ya Tuhan, aku mangsa ragut.'' Tidak pernah terlintas perkara ini akan terjadi pada saya. Selama ini saya hanya tengok berita, baca surat khabar tetapi tidak terfikir ia akan terjadi pada saya. Untuk pengetahuan semua, saya diragut di tempat terbuka yang ramai orang, pada waktu siang dan ketika itu bersama suami saya. Begitu berani peragut tersebut.

Saya bersyukur keputusan CT scan menunjukkan tiada pendarahan otak, tapi luka di kepala menyebabkan saya terpaksa dijahit. Saya trauma, rasa takut apabila hendak keluar rumah. Hari ini apabila saya keluar, saya lihat perempuan mengandung membawa beg tangan. Sepasang kekasih berjalan, yang perempuan membawa beg tangan. Ibu berjalan mendukung anak bersama beg tangan. Tolonglah adik, kakak dan makcik, simpanlah beg tangan anda di rumah. Tukarlah dompet anda kepada yang lebih kecil dan masukkan saja ke dalam poket. Pedulikan fesyen. Biarlah nampak tidak anggun tanpa beg tangan.
Perbuatan membawa beg tangan mendedahkan anda kepada peragut. Peragut ini tidak akan peduli apa yang akan jadi kepada anda. Peragut ini tidak peduli pada keluarga anda, pada impian anda. Jika anda mati pun mereka tidak akan peduli. Kerajaan sekarang sedang berusaha menangani jenayah ragut. Anda juga perlu berusaha dengan menjaga diri supaya tidak menjadi mangsa ragut. Cara yang paling mudah ialah jangan membawa beg tangan.
Doktor Mangsa Ragut
Kuala Lumpur

Tiada ulasan:
Catat Ulasan