(235) Bertukar Tugas Dengan Isteri

Mat (bukan nama sebenar) tidak pernah membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Malah dia sering bersungut sendirian kerana telah merasa bosan setiap hari pergi kerja, sedangkan Nab (juga bukan nama sebenar) isterinya hanya tinggal di rumah. Kalau boleh, dia mahu isterinya tahu betapa penat dan letihnya dia bekerja setiap hari untuk menanggung keluarga.

Suatu malam Mat berdoa, "Ya Tuhanku, aku bekerja 8 jam sehari sedangkan isteriku hanya tinggal di rumah bersama anak-anak. Aku mahu supaya dia tahu betapa letihnya aku bekerja setiap hari. Tolonglah ya Tuhan, tukarkanlah aku dan isteriku. Biar aku yang menjadi isteri untuk sehari sahaja supaya dia pula dapat merasakan betapa letihnya aku bekerja. Biar aku pula yang berehat di rumah."

Tuhan Yang Maha Mengetahui telah mengkabulkan permintaan Mat. Pagi besoknya, ia bangun dari tidur sebagai seorang isteri. Bangun saja dari tidur, dia bergegas ke bilik air, cuci gigi dan terus ke dapur menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Kemudian bangunkan anak-anak dan melayan mereka bersarapan, pada masa yang sama melayan suami bersarapan. Pastu menghantar suami yang nak pergi kerja ke pintu, kembali membetulkan baju anak-anak yang nak ke sekolah dan menyediakan air yang anak-anak nak bawa ke sekolah.

Apabila suami dan anak-anak sudah meninggalkan rumah, Mat terus ke bilik kutip kain-kain busuk untuk dicuci dengan mesin. Sambil itu, dia sempat menyapu lantai dan juga di halaman rumah. Selesai membasuh, dia memungut kain-kain dari mesin basuh lalu menjemurnya. Lepas tu barulah dia mula memasak untuk anak-anak yang akan balik sekolah nanti. Selesai masak, jam dah pukul 1.45 tengahari dan tak lama kemudian anak-anak pun sampai.

Sekarang tiba masa untuk memberi mereka makan sebelum mengatur anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Kemudian, sekali lagi Mat mengemas rumah supaya jangan bersepah sangat. Kemudian dia angkat kain di jemuran. Tiba-tiba anak bongsu menangis kerana terjatuh. Dah nak kena beri rawatan dan pujuk supaya tangisan tidak berlarutan. Dah selesai, kain-kain yang baru diangkat perlu pula dilipat dan disusun dalam almari. Sedar tak sedar, waktu Zohor dah tinggal tak berapa minit saja lagi. Terpaksa bergegas pulak tunaikan Zohor sebelum tertinggal. Selesai salam, azan Asar kedengaran. Selesaikan pulak solat Asar sebelum menyambung apa-apa kerja yang belum siap.

Belum sempat rehat, terpaksa pula jenguk ke dapur untuk menyiapkan makan malam. Lepas Maghrib, terpaksa layan suami dan anak-anak makan, lepas tu cuci pinggan mangkuk, mandikan anak yang masih kecil, ajar anak-anak mengaji dan uruskan supaya anak-anak masuk tidur. Dah dekat pukul 11.00 malam barulah semua kerja rumah tangga selesai. Badan pun dah longlai. Bolehlah rasanya nak berehat sikit. Opps... . belum boleh rehat rupanya. Suami juga mahukan layanan. Berdosa isteri kalau tak melayani kemahuan suami. Dan kali ini dia longlai selonglai-longlainya.

Besoknya, setelah terjaga sebelum dinihari, Mat segera bangun dan berdoa, "Ya Tuhanku, baru kini aku tahu. Aku dah tak sanggup lagi jadi isteri. Aku keluar bekerja seharian pun tak penat macam ni. Ada juga masa berehat, minum kopi dan berbual dengan kawan-kawan. Tolonglah kembalikan aku sebagai suami semula. Ampun, aku tak sanggup dah jadi isteri. Salah sangkaanku selama ini bahawa kerja-kerja isteriku di rumah begitu mudah. Biarlah isteriku terus di rumah dan aku keluar bekerja." Sekonyong-konyong Mat terdengar suatu suara ghaib berkata,"Wahai Mat, kamu belum boleh kembali menjadi suami sebab kerjamu malam tadi telah menjadi benih. Kamu kenalah tunggu 9 bulan 10 hari lagi untuk melahirkan anak sebelum kamu
dapat menjadi suami kembali...."

Haaahhh???? 9 bulan 10 hari???? Beranak??? Tidaaakkkkk!!!!!!!

"Bang, bang... apa pasal ni, bang??" Sergah satu suara di sisinya. Rupa-rupanya Mat bermimpi. Mat segera melompat bangun dari katilnya dan terus memegang isterinya sambil bertanya, "Nab, Nab ke yang jadi suami atau abang yang jadi suami?"

"Laaaaa, mimpi apa la pulak orang tua ni. Kan Nab ni perempuan, tentulah abang yang jadi suami..." jawab Nab.

Mat mengurut dada lega. Hari itu Mat mengambil cuti emergency dan sehari suntuk membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Nab terkedu, terlopong kehairanan seharian melihat gelagat suaminya.


Moral cerita:
Isteri perlu disayangi dan lindungi kerana ia adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan