(231) Mari Bersedekah

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah encik, saya lapar. Sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.''

Dengan muka yang bengis, si suami sambil menjeling isterinya yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu sambil berkata, ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.


Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terpaksa menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Tidak lama kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya menghadap makanan, tiba-tiba seorang
pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis. Suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''Sesungguhnya, akulah pengemis yang dihalau dan ditengkingnya itu."

*****

Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70 ribu kejahatan''.

Anas Malik a.s. pula meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan