(201) Ciumlah Pipi Ayah Sementara Masih Ada

SeKaDaR ReNuNgAn kItA BeRsAmA...
(Sebagai peringatan buat kita yang masih mempunyai ayah dan ibu. Hargailah mereka sebaik-baiknya sebelum kita terlambat, sebelum mereka pergi meninggalkan kita, atau kita pergi meninggalkan
mereka... wallahua'lam).



Abah aku meninggal pada 5/8/2002 yang lalu. Apa yang aku tuliskan di sini adalah untuk mereka yang masih lagi ada orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum menyesal. Kematian abah meninggalkan kesan yang amat mendalam, apatah lagi meninggalkan mak yang keseorangan. Anak-anak semua dah besar-besar, kerja semua jauh-jauh. Hidup ini seolah tiada erti. Selama ini setiap suka duka pasti kami telefon dan maklumkan kepada mak dan abah. Kalau naik gaji, dapat keputusan bagus, dsb., pasti kami telefon mereka supaya mereka gembira. Kalau boleh mahu terus berada di kampung menemani mak yang terus menangis. Syukur, abah mati dalam pelukan mak yang mengucap dua kalimah syahadah di telinga kirinya, dan aku ketika itu mengucap di telinga kanannya. Ini adalah kali pertama aku melihat kematian. Masih terbayang.... abah memandang jauh ke hadapan dan matanya ke atas sambil mengucap dan memejamkan mata. Sungguh cepat dan tenang. Semoga roh abah ditempatkan dalam golongan para mukminin. Syukur, sembahyang jenazah abah lebih daripada 100 orang. Syukur, abah telah selamat dikebumikan.

Sejam sebelum kematian, aku sempat berbual dengan abah. Abah kata kalau nak beli kereta, tunggulah 2005. Bila time AFTA nanti kereta Honda jatuh harga. Bolehlah bawak mak jalan-jalan. Waktu tu abah tentu dah sihat, dah berselera makan. Lepas tu, abah suruh aku pergi Pejabat Pendaftaran buat kad pengenalan baru besok sebab abah dan mak baru ambil kelmarin. Abah kata sehari je buat. Tak payah ambik gambar kat kedai gambar. Diorang sekarang guna digital kamera kat ofis je. Tapi abah kata jangan pakai baju putih, nanti gambar tak clear. Tapi tak sangka besoknya aku ke Jabatan Pendaftaran, bukan untuk buat kad pengenalan, sebaliknya aku buat sijil kematian abah. Begitulah, apabila Izrail datang mengambil nyawa, kita tak boleh mempercepat atau menganjak walau sesaat. Sampai sekarang masih terbayang keadaan abah masa tu, tapi macam tak sangka. Abah hanya tengok atas dan tutup mata. Badan tidak bergoyang walau seinci. Abah cuma nak baring. Sambil mulut mengucap dua kalimah syahadah. Pertama kali aku pergi ke rumah mayat, pertama kali aku naik van jenazah, pertama kali buat sijil kematian, pertama kali tak tidur 2 hari, pertama kali asyik menangis, pertama kali menimbus kubur, pertama kali menjirus air mawar, semuanya pertama kali........... dan pertama kali juga.... takkan jumpa abah lagi.

Aku memandikan abah, memasangkan kain ihram sebagai kain kafan. Ketika ditutup muka abah, aku mencium dahi, pipi kanan, pipi kiri, dan bangun.... Tiba-tiba hati aku ingin terus mencium lagi... Aku membongkok dan mencium dahinya semula. Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Semasa kecil aku selalu cium abah. Tetapi apabila dah besar sudah lama aku tidak mencium pipinya. Ya Allah, Tuhan sekalian alam! Aku dan abang mengangkat jenazahnya, dan mengebumikannya. Hati ini sayu mengenangkan pemergian abah yang tercinta. Mak hanya memandang dengan air mata sayu. Penglihatannya kosong... setelah 36 tahun hidup bersama abah, kini tinggal seorang. Selaku seorang anak aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang pendiam, sabar dan alim. Dia jemaah masjid, dia Bendahari masjid, dan pelbagai amanah kebajikan dilakukannya. Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang. Memang sayang abah, cuma. dengan abah aku hormat dan memendam kasih. Lain pula dengan emak yang sentiasa berterus terang dan aku seringkali tidur di pahanya.

Kelmarin, aku baca dairi abah. Tak sangka abah pun tulis diari. Tiada apa yang ada dalam dairi itu melainkan perkara anak-anaknya. Semuanya berkisar tentang anak-anak. Aku sendiri tak ingat bila aku beli kereta. Tapi abah catat, 18 Februari - Rizal beli kereta Satria hijau 1.6. Abah catat setiap kali anak-anaknya telefon, cukup dengan waktunya. Sekali tu, jam 1.00 pagi aku telefon dari KL. Itupun abah catat. Semuanya abah catat berkenaan anak-anaknya. Abah catat Rizal balik jam 2.00 petang bawa keropok, dsb. Abah catat Kak Se keguguran. Abah catat Shaifol (abang sulung) ke KL. Menangis kami semua bila baca dairi tu.... Abah sayang anak-anaknya, cuma tak pernah tunjuk sebab abah lebih suka berdiam diri dan tidak bercakap fasal orang. Begitu juga dengan orang lain. Ayah hanya banyak cakap pasal ilmu agama dan berkenaan anak-anaknya sahaja. Ada kawan sekampung abah baru-baru ni cakap, "Abah kamu masa hidup selalu cakap pasal anak-anaknya aje. Seorang kerja sana, seorang kerja sini. Dia bangga pada korang". Tapi jauh di sudut hati, aku masih terkilan sebab aku selalu fikir yang aku bukan anak yang baik.

Abah memang suka menulis. Kalau fail atau dokumen fasal kereta, rumah, bil, kedai dsb. memang semua tersusun. Aku terjumpa buku nota kuliah Subuh abah yang terbaru. Catatan terakhir yang abah tulis - "Hati orang beriman sentiasa ingat kubur". Abah gariskan perkataan ingat kubur.... dan kami bersyukur bahawa abah sememangnya telah bersiap sedia untuk meninggal, dan menyerahkan kepada Allah untuk melepaskan siksaan kubur dan api neraka. Abah juga memang suka budak kecik. Pantang jumpa anak sesiapa aje pasti dia dukung, bawak berjalan. Cucu-cucunya setiap kali balik pasti nak tidur bersamanya. Kini semuanya sudah tiada.... Ya Allah, aku tak tahu bagaimana kehidupan ini nak diteruskan tanpa Abah.. Aku baru bercadang nak balik dan bertekad bonus tahun ni nak kasi abah RM1000, mak RM1000... tapi Allah lebih menyayanginya. Abah meninggal 5hb dan tak sempat merasai bonus pertama anaknya yang baru masuk pada 10hb. Aku tak sangka duit bonus itu banyak digunakan untuk majlis tahlil dan batu nisan abah.

Tok Imam ada cakap kat kami, "Kubur ayah digali, lepas tu ditanam, tanahnya masih penuh kat tepi. Terlebih tandanya seorang yang pemurah, sedangkan ada sesetengah kubur selepas ditimbus semula masih tak cukup tanah. Abah kamu wajahnya senyum aje walaupun dah meninggal. Abah kamu waktu dimandikan dah bersih, takde kotor, najis pun takde." Setiap patah perkataan Tok Imam itu menyedapkan hati kami, dan memberi azam kepada kami untuk jadi macam abah.... Sembahyang Jumaat minggu sudah, aku memulangkan semula semua duit masjid dan buku akaun yang abah pegang selaku Bendahari. Sambil mengira kutipan Jumaat hari itu, Tok Imam dan Bilal turut menangis.... "Dulu abah kau yang tolong kira, lepas tu dia yang tulis kat whiteboard tu...." Ini semua membuat aku rasa terpanggil untuk kembali ke kampung walau kerja apa sekalipun....

Ya Allah, sesungguhnya kematian ini memberi hidayah kepadaku.... Talkin untuk abah masih segar... "Wahai Polan bin polan, ketahuilah kamu bahawa mati itu benar, kiamat itu benar, Allah itu benar" dan, "kita yang hidup akan pergi juga. Lelaki berat tanggungjawabnya. Suami menanggung dosa isteri dan anak-anak". InsyaAllah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama. Cuma, aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula bekerja setelah terlupa dengan nikmat Allah. Mak juga seorang yang solehah. Aku yakin Allah Maha Pengampun dan Maha Bijaksana dalam menentukan al-Mizan." Dulu mak dan abah setiap waktu berdua ke masjid, tapi sekarang ni mak kata mak takut ke masjid seorang diri. Takut tak tenang hati teringatkan abah. Inilah juga perasaan aku sekarang. Buat korang yang masih ada, jadikan iktibar. Ciumlah pipi ayah sebelum ciuman terakhir, dan curahkanlah kasih sayang tanpa berselindung. Tunjukkanlah.....

**Sayangi lah orang tua mu selagi mereka masih ada.....


Tulisan asal di;
http://www.sepaku.net/sepaku-keluarga/7476-cium-pipi-ayah.html


Tiada ulasan:

Catat Ulasan