(202) Kem Kecemerlangan UPSR

Slot ceramah yang diadakan untuk membimbing peserta menjawab soalan-soalan UPSR menggunakan teknik yang betul

Kem Kecemerlangan UPSR 2009 telah diadakan pada 5 hingga 7 Jun yang lalu, bertempat di Taman Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh. Program kelolaan bersama Jawatankuasa UPSR, Unit Bimbingan & Kaunseling dan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) ini menjadikan kesemua 182 orang calon UPSR'09 sebagai golongan sasaran.

Rasional Program
1. Murid berpotensi untuk menjana kecemerlangan diri,
2. Murid masih berpeluang mencapai keputusan cemerlang,
3. Penambahbaikan menjurus ke arah peningkatan kecemerlangan,
4. Murid menyedari erti sebuah kejayaan.

Objektif Program
1. Mengetahui dan memahami teknik menjawab soalan dengan betul,
2. Melaksanakan program latih tubi & pengukuhan bagi menguasai kemahiran sebelum & semasa menghadapi peperiksaan,
3. Mempertingkatkan jati diri serta pencapaian yang lebih cemerlang dalam UPSR.

Inilah chef yang diketuai oleh Cgu Hj. Masrof yang bertungkus-lumus sepanjang masa bagi memastikan acara makan-makan dan minum-minum tidak terlewat dari yang dijadualkan

Hari Pertama
Program ini dipengerusikan oleh PK Pentadbiran dengan dibantu oleh Setiausaha, Cgu Rosmaini (S/U UPSR) & Cgu Asmadera (S/U Kurikulum/UBB) serta Guru Kaunseling, Cgu Hj. Mokhjamil & Cgu Zulkifli selaku Penyelaras. Pada hari yang telah ditentukan, para peserta berkumpul di kantin sekolah dan menaiki 4 buah bas menuju destinasi. Setelah solat Asar dan minum petang, para peserta beriadah sambil melawat kawasan-kawasan sekitar. Pada waktu malam, setelah selesai makan dan bersolat, mereka mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh Ust Kamaruzaman. Selepas solat Isyak, mereka mengikuti ceramah 'Teknik Menjawab Soalan BM' hingga ke pukul 11:00pm. Sebelum tidur, pelajar sekali lagi diberi minuman malam.

Di samping ceramah, beriadah dan sebagainya, ibadah selaku santapan ruhani termasuklah kuliah Subuh, tazkirah dsb. tidak pernah diabaikan.

Hari Kedua
Setelah bersolat dan mengikuti Kuliah Subuh, para peserta beriadah dengan melakukan akitiviti senaman pagi dan seterusnya bersarapan. Kemudian mereka ke dewan untuk mengikuti ceramah "Teknik Menjawab Science" yang disampaikan oleh Cgu Shariman Shahidan (SK Kem Desa Pahlawan). Selepas rehat, mereka mengikuti ceramah "Teknik Menjawab Mathematics" pula yang disampaikan oleh Cgu Shaidan Che Man (SK Wakaf Stan). Pada sebelah petang, mereka mengikuti aktiviti yang disediakan oleh Unit Ko, Kem Tangok seterusnya bersolat, minum petang dan beriadah. Pada malamnya, selepas solat Maghrib & Isyak, mereka mengikuti slot "Muhasabah Diri" yang dikendalikan oleh Ust Shamsudin (SK Che Latif). Para pelajar mengikutinya dan menghayatinya dengan penuh khusyuk sehingga ramai yang menangis setelah meneliti amalan sendiri. Pada malam itu juga para pelajar dan guru disediakan hidangan barbecue.

Mengenang kembali apakah amalan yang telah kita lakukan, jasa ayah dan ibu, balasan kita terhadap ayah ibu dan sebagainya yang dimuhasabahkan mampu membuatkan kita menangis dan menyesal.

Acara membakar ayam, ikan, sotong dan lokan merupakan acara yang ditunggu-tunggu. Kecur air liur dibuatnya...

Hari Ketiga
Ceramah pagi ini ialah "Teknik Menjawab BI". Seterusnya mereka dikehendaki bersiap-siap mengemas pakaian dan bergotong-royong membersihkan kawasan perkhemahan. Pada jam 12:00pm, bas pun sampai untuk membawa mereka pulang ke sekolah. Tiba di perkarangan sekolah, ibu bapa telah siap sedia menunggu untuk membawa anak-anak mereka pulang ke rumah.

Perbelanjaan
1. Pengangkutan (RM400 x 4 buah bas) = RM 1600.00
2. Penginapan pelajar (RM10 x 180 pelajar x 2 hari) = RM3600.00
3. Sewa dewan (RM350 x 2 hari) = RM700.00
4. Bilik penginapan Urusetia (RM65 x 3 unit x 2 hari) = RM390.00
5. Makan minum
a) Makan berat (3 kali x RM4.00) = RM12.00
b) Sarapan pagi (2 kali x RM2.50) = RM5.00
c) Minum ringan (5 kali x RM2.00) = RM10.00
6. Cenderahati penceramah (RM150 x 4 orang) = RM600.00
JUMLAH = RM11750.00


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana program ini telah selamat diadakan dengan jayanya hasil kerjasama dan kesepakatan para guru, staf sokongan, PIBG dan pihak pentadbir.


Sumber Foto;
Blog Unit Pemulihan SKSM

(berita lanjut juga boleh dibaca di blog kendalian Cgu Saufi tersebut)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan