(166) Tangisan dan Tawa (ii)

Jika menangis boleh meredakan perasaan, ketawa pula dianggap sebagai ubat terbaik dalam merawat apa jua masalah. Pendapat ini ada benarnya kerana badan secara semula jadi berehat apabila kita ketawa. Diafragma, abdomen, saluran pernafasan, muka, kaki dan bahagian belakang badan secara tidak langsung 'digerakkan' serentak untuk bekerja. Pergerakan ini yang dianggap senaman untuk bahagian tengah badan sebenarnya turut membakar kalori. Saintis mendapati, ketawa sebanyak 100 kali mempunyai manfaat sama dengan bersenam 10 hingga 15 minit. Ketawa membantu merangsang proses pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan aliran darah.

Apabila kita ketawa, badan menghasilkan sel-T iaitu sel darah putih dan sejenis protein yang penting dalam sistem pertahanan badan. Ketawa juga didapati boleh mengurangkan penghasilan hormon tekanan. Ini sebabnya orang yang menghidap penyakit perlu mendapatkan bantuan kaunseling atau kumpulan sokongan untuk menguatkan semangat kerana kesedihan hanya memburukkan keadaan penyakit mereka.

Kajian mendapati apabila kita ketawa, satu gelombang elektrik terhasil dan mengalir dalam otak.
Banyak bahagian otak, termasuk bahagian yang mengawal emosi, daya intelek dan pergerakan, saling berhubung ketika kita ketawa. Semua ini dikatakan memberi manfaat kerana ia boleh menguatkan badan. Ketawa bukan saja boleh meredakan tekanan, tetapi menghilangkan rasa marah. Antara manfaat ketawa yang lain ialah;
-merendahkan tekanan darah.
-merangsang mood.
-meningkatkan daya ketahanan badan.
-memperbaiki fungsi otak.
-melindungi jantung.
-merapatkan hubungan dengan orang lain.
-melegakan perasaan.
-membuatkan kita berasa selesa.

Malah, ketawa juga boleh meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit seperti tekanan darah tinggi, strok, artritis, ulser dan mengelakkan risiko mendapat serangan jantung.
Kajian mendapati seseorang itu berisiko diserang sakit jantung jika sentiasa dalam keadaan tertekan, resah, gelisah dan marah. Bahkan, ada juga kajian mendapati ketawa boleh melancarkan sistem pencernaan dan penyerapan nutrien daripada makanan.

Namun paling penting ialah ketawa boleh mengekalkan kesihatan mental. Apabila kita berfikiran tenang dan melihat masalah daripada sudut positif, ia juga boleh dijadikan bahan ketawa.
Ketawa pada diri sendiri juga boleh mengubah persepsi kita terhadap masalah dihadapi. Mungkin anda tidak sedar, ketawa sebenarnya membolehkan kita menangani masalah atau tekanan dengan lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan