(165) Tangisan dan Tawa (i)

Senyuman dan ketawa boleh menjadi penawar duka. Kebuntuan fikiran seolah-olah hilang apabila mendengar suara anak ketawa menyambut kepulangan kita dari tempat kerja. Ketawa dan menangis adalah sebahagian proses semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada kita.
Walaupun sesetengah orang menganggap tangisan itu sebagai satu kelemahan, hakikatnya ia ada fungsi penting dalam kehidupan kita. Apabila kita ketawa atau menangis, badan mengalami perubahan fizikal dan kimia. Ketawa dan menangis adalah dua elemen penting yang memberi manfaat kepada fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.

Berbanding ketawa, menangis adalah proses lebih rumit. Air mata boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu;
i) air mata basal (untuk melembapkan mata)
ii) air mata refleks (apabila mata mengalami keradangan seperti apabila mengupas bawang atau terkena habuk)
iii) air mata emosi (apabila badan bertindak balas terhadap perubahan emosi).

Setiap jenis air mata ini mempunyai komposisi hormon dan bahan kimia berbeza. Saintis mendapati air mata emosi mengandungi paras logam mangan dan hormon prolaktin lebih tinggi.
Apabila kita menangis, dua bahan ini diambil daripada badan dan dikeluarkan melalui air mata. Ia membantu meredakan perasaan. Ini sebabnya kita berasa lebih tenang selepas menangis.
Air mata emosi hanya terhasil apabila berlaku perubahan emosi.

Banyak faktor boleh mengakibatkan emosi seseorang berubah, seperti kesedihan kehilangan orang tersayang. Apabila emosi berubah, sistem saraf bertindak balas dengan merangsang saraf kranial (saraf dari otak) dan menghantar isyarat kepada kelenjar air mata lakrimal (kelenjar air mata paling besar). Penyelidik percaya, kelenjar ini mengeluarkan jumlah air mata mengandungi bahan kimia dan hormon tertentu untuk menstabilkan semula perasaan seseorang apabila menghadapi tekanan emosi. Bagi wanita, tangisan dianggap perkara biasa tetapi bagi lelaki, ada yang menganggap ia sebagai satu tanda kelemahan.

Sebenarnya, menangis bukan perkara memalukan atau lambang kelemahan. Individu yang tidak menangis, terutama apabila mengalami tragedi seperti kematian atau putus cinta, sebenarnya lebih menderita kerana tidak dapat meluahkan keperitan yang dialami melalui tangisan.
Jadi jika anda sedih, tiada salahnya untuk menangis kerana ia antara proses semula jadi untuk mententeramkan semula perasaan dan fikiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan