(131) 2 Wanita Hamil Maut Angkara Peragut Durjana


Lagi Wanita Mengandung Maut Diragut

KOTA BAHARU 6 Mei — Selepas seorang wanita mengandung maut di tangan peragut di Johor Ahad lalu, satu lagi kes kematian angkara peragut yang turut melibatkan wanita mengandung berlaku di Kelantan hari ini. Dalam kejadian di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh di sini, Saripah Mohd Noor, 33, dari Kampung Melawi, Bachok yang mengandung 3 bulan maut selepas diragut oleh seorang lelaki. Kejadian berlaku selepas mangsa yang sedang menunggang motosikal diragut beg tangannya sehingga menyebabkan motosikalnya terbabas dan jatuh. Mangsa kemudian dilanggar oleh sebuah kereta yang dari arah bertentangan dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi. Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menunggang motosikal bersendirian untuk ke rumah ibunya di Tumpat. - Bernama


Wanita Hamil Meninggal Dunia Akibat diragut

JOHOR BAHARU 5 Mei — Seorang wanita yang mengandung 2 bulan meninggal dunia hari ini selepas koma akibat diragut ketika menunggang motosikal di Taman Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, Ahad lepas. Jamilah Selamat, seorang jurujual di kedai kraftangan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, di sini pada kira-kira pukul 7.35 pagi. Jamilah yang akan menyambut hari jadi ke-32, Isnin ini koma apabila terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya setelah diragut dua lelaki yang menaiki motosikal. Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.30 malam ketika Jamilah yang menunggang bersendirian motosikal Honda EX5, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Mekar, kira-kira 70 meter dari tempat kejadian. Beliau terjatuh dan terhentak di kepala kerana motosikalnya gagal dikawal. Sebelum itu, beliau yang selesai bekerja sempat ke pasar malam untuk membeli barangan keperluan dapur. - Bernama

Sumber;
Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan