(124) Telefon Bimbit di Sekolah


Telefon bimbit kini merupakan satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia hanyalah sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah. Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.

Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampasnya daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa menuntutnya.
Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif? Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100% terganggu hanya kerana telefon bimbit?

Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.
Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa? Ada pelajar berpendapat mereka membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan. Para pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.

Menurut mereka lagi, membawa telefon bimbit ke sekolah merupakan satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah. Bukan semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah. Ada juga yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah. Oleh itu, dengan menggunakan telefon bimbit, mereka boleh menghubungi keluarga jika menghadapi masalah. Menurut mereka, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa. Jjika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru. Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu. Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada mereka. Tidak dapat dinafikan bagi sesetengah pelajar pula, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan. Setiap hari mereka akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu-lagu dan klip video terkini. Namun bagi mereka, mereka sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu.

Ramai penjaga
mengatakan bahawa pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga. Mereka sendiri juga lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah. Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah. Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit? Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya.

Tentang penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah pula, para penjaga meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.
Para guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran ataupun pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan.


Diadaptasi Dari;

MyMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan