(123) Memoranda Luka Sempena Hari Ibu

Pergaduhan antara rakan-rakan yang menyatakan sajian ibu masing-masing yang paling sedap menyebabkan saya menggeleng kepala. Mana tidaknya, sejak aku baru dilahirkan hinggalah ke usia sekarang, sudah pasti selera telah sebati dengan air tangan si ibu. Hinggakan apa yang disediakan, termasuk goreng telur atau membikin secangkir kopi sekalipun, adalah yang paling lazat berbanding sajian di restoran-restoran mewah sekalipun.

Kini, setelah anak-anak meningkat usia, mereka pula semakin bijak membandingkan sajian yang dinikmati antara makanan di kantin sekolah dengan masakan saya. Geli hati saya mendengarnya kerana memang itu sebenarnya selera manusia. Seronok juga didengar apabila si ibu mendapat pujian. Saya juga sependapat. Kini, hampir pasti saya mula merindui masakan ibu, Kamariah Hasan yang tidak mungkin lagi saya nikmati apabila beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh Pahang, Ahad lalu. Arwah sememangnya gemar mencuba pelbagai hidangan dan selalunya apabila saya membawa pulang sesuatu, beliau amat teruja untuk mencuba, walaupun sedikit, dan tidak lupa akan memberikan komen. Itulah sesi yang cukup menyeronokkan.

Sungguhpun begitu kenangan itu sudah berlalu, dan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang membantu atas urusan pengebumian arwah. Pastinya kenangan menyediakan sajian bersama, termasuk petua-petua berguna yang diberikan ibu ketika sibuk di dapur, kekal tersemat di lipatan memori ini. Di ruangan kecil ini, saya sedekahkan al-Fatihah kepadanya sambil memanjatkan doa semoga rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman, amin. Dan bagi pembaca yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka selama usia masih dikandung badan dan selagi tangannya masih mampu menghulur salam. Selamat berhujung minggu bersama keluarga tersayang dan Selamat Hari Ibu...

Oleh:
Nur Afzan Muhamad Yusof
(http://www.nst.com.my/Misc/Mothersday/story/news/20090421115427/Article/)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan