(93) Hidung


Hidung merupakan salah satu anggota penting pada badan kita. Selain merupakan jalan utama keluar masuk udara pernafasan, hidung juga merupakan alat bagi deria hidu untuk mengesan bau. Malah ada orang jatuh cinta terhadap seseorang hanya kerana terpesona dengan hidungnya, misalnya hidung Shah Rukh Khan. Teringat pula kepada dialog dalam sebuah filem lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diucapkan oleh Aziz Sattar (Dato') berbunyi, "Walaupun dirimu tidak kukenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku..." Begitulah hidung.

Tahukah kita hidung juga merupakan salah satu anggota yang amat diminati oleh syaitan? Masa yang paling sesuai untuk hidung dikunjungi syaitan adalah ketika kita tidur. Ketika itu syaitan akan berkumpul di dalamnya tetapi tidak diketahui pula dengan tepat kenapa dia suka sangat dengan lubang hidung. Walaupun ia tidak menghalang kita dari bernafas tetapi ia mampu mengganggu keupayaan kita untuk bangun dari tidur. Sebuah hadis Abu Hurairah r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: "Apabila seseorang dari kamu bangkit dari tidur, maka hendaklah ia memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya semalaman syaitan tidur di dalam hidungnya iaitu ketika ia tidur."
(riwayat Muslim)

Membersihkan hidung sebaik sahaja bangun dari tidur adalah satu amalan yang dilakukan oleh Rasullullah selain bersugi. Bayangkan syaitan yang semalaman bersarang di dalam lubang hidung kita, macam-macam yang boleh dilakukannya (macam-macam adaaa...). Oleh itu bersihkanlah ia sebaik sahaja kita bangun dari tidur.

Cara membersihkannya, mula-mula sekali, sambil berselawat, gunakan jari yang kecil, bersihkanlah perlahan-lahan. (Jangan gunakan jari yang besar atau sebarang objek kerana dikhuatiri hidung rabak, tercedera atau atau menjadi luas macam serombong kapal). Tak perlu menggunakan sabun. Cukup dengan air biasa sahaja. (Kalau nak bubuh sabun pun boleh juga, cuma janganlah banyak sangat, nanti berbuih pulak lubang hidung tu. Kalau lemas kan susah. Setakat ni belum ada yang sanggup buat CPR melalui lubang hidung). Sama-sama lah kita mengamalkannya kerana melalui hidunglah kita dapat menyedut udara pemberian Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan