(107) Tazkirah: Memakan Harta Haram

Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam hidup, namun janganlah ada di antara kita yang menjadikannya sebagai matlamat hidup ini sehingga berlumba-lumba untuk memperolehinya tanpa mengira penat lelah, bekerja siang dan malam serta sanggup pula mengabai dan mengetepikan suruhan dan perintah kewajipan terhadap Allah. Kita sememangnya disuruh mencari kekayaan selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangun ummah. Kemiskinan pula adalah malapetaka yang kadang-kadang boleh mengubah seseorang kepada kekufuran, sama ada kufur dalam bentuk hakiki dengan mengabaikan akidah keimanan atau kufur dalam bentuk memenuhi tuntutan hidup yang terdesak dengan mencuri, menipu, mendapat wang dengan cara yang tidak halal atau jalan yang salah seperti rasuah. Namun untuk mencari kehidupan yang mewah juga menyebabkan seseorang terdorong untuk mendapatkan kekayaan dengan cara yang bukan hanya salah di sisi agama, tetapi juga bertentangan dengan etika dan moral.

Terdapat beberapa faktor yang dikenalpasti sebagai punca seseorang itu sanggup mendapatkan harta di jalan yang tidak halal seperti;
1. Hilang atau lemah nilai keimanan dalam kehidupan manusia boleh menjadi faktor berlakunya penyelewengan dalam pencarian atau perolehan harta.
2. Tabiat manusia yang amat suka kepada harta benda.
3. Tidak bersikap amanah.
4. Tidak ada penerapan hukum Allah dalam kehidupan manusia.
5. Kurang pemahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh.
6. Faktor-faktor lain iaitu lemah pendidikan agama dan etika, tamak, banyak berhutang, ada keinginan dan ada pula peluang, untuk mencapai cita-cita, dan belanja hidup yang semakin meningkat.

Ancaman-ancaman terhadap mereka yang mencari harta haram ini adalah seperti berikut;
1. Mendapat kemurkaan, laknat dan kebencian Allah s.w.t
2. Mendapat kutukan dan laknat daripada Rasulullah s.a.w
3. Tidak mendapat rahmat, taufiq dan hidayat Allah s.w.t
4. Diancam dengan api neraka.
5. Termasuk memakan harta dengan jalan yang salah, lebih berat lagi jika melibatkan harta anak yatim (tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar).
6. Doanya tidak diterima.

Terdapat beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah ini daripada berleluasa, antaranya;
1. Menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti menjelaskan reaksi Islam terhadap perbuatan tersebut dan mengenalpasti perbuatan yang diredhai Allah.
2. Memberi didikan dengan Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman dan bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat.
3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.
4. Menanam minat mempelajari kitab-kitab agama dan sebagainya.
5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keugamaan seperti membaca, menghafal dan merenung isi kandungan al-Quran, mengkaji hadis-hadis dsb.
6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri daripada yang jahat kepada yang terpuji.
7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup.
8. Membersihkan jiwa dengan menanam kerohanian Islam.
9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Quran dan berselawat.
10. Menjalankan hukuman takzir bagi memberi pengajaran kepada pelaku dan juga untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.

Akhir kata, perbuatan memakan harta haram adalah perkara yang amat dilarang oleh syara‘ bahkan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Kesan daripada perbuatan memakan harta orang lain dengan jalan yang salah ialah, setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram maka nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi;
1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.
2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.
3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan manfaat dari segi ekonomi. Oleh itu, cara terbaik untuk menangani ialah dengan memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak kita sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina masyarakat dan negara yang aman lagi makmur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan