(106) Mengingati Mati

Apabila mati seseorang, yang akan mengikuti mayat adalah tiga perkara iaitu keluarganya, hartanya, dan amalannya. Daripada 3 perkara tersebut, dua daripadanya akan kembali semula dan yang satu akan tinggal bersamanya iaitu, keluarga dan hartanya akan kembali sementara amalannya akan tinggal bersamanya.

Sewaktu roh meninggalkan jasad, maka kita turut sama menginggalkan harta yang telah kita cari dan kumpul selama ini. Badan yang dahulunya kuat kini terkulai lemah, lisan yang dahulunya fasih kini bungkam tak bersuara, telinga yang dahulunya mendengar kini tuli dari seribu bunyi, sahabat handai yang dahulunya setia kini ghaib tak bersuara. Maka berbahagialah apabila kita bersahabat dengan redha, sebaliknya celakalah jika kita bersahabat dengan murka Allah.

Waktu itu kita berada dalam sebuah perjalanan, nun jauh tanpa bekalan. Kita telah keluar dari rumah dan tidak akan kembali selama-lamanya. Waktu itu kita dalam musafir pada sebuah tujuan yang penuh pertanyaan. Maka berbahagialah apabila amalan kita adalah kebajikan. Berbahagialah jika mati kita diawali taubat. Berbahagialah apabila hidup kita penuh dengan taat. Ketika itu, setiap pekerjaan yang kita lakukan akan kita lihat hasilnya di akhirat. Jika baik maka kita akan melihatnya baik, jika buruk kita akan melihatnya buruk. Maka, apakah yang telah kita siapkan dari rumah kita yang luas di dunia ini untuk kehidupan yang penuh gelap gelita di sana? Jika dahulu kita tertawa, kini dalam perut bumi kita menangis. Dahulu kita bergembira, kini kita berduka. Dahulu kita bertutur kata, kini dalam perut bumi kita bungkam seribu bahasa.

Ketika semua manusia meninggalkan kita sendirian, Allah berkata;
"Wahai hamba-Ku, kini kau tinggal seorang diri tiada teman dan tiada kerabat di sebuah tempat kecil, sempit dan gelap. Mereka pergi meninggalkanmu seorang diri padahal, kerana mereka kau pernah melanggar perintahku. Hari ini akan Kutunjukkan kepadamu kasih sayang-Ku yang akan takjub seisi alam. Aku akan menyayangimu lebih dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya".

Kepada hamba-hamba-Nya yang beriman Allah berfirman,
"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya· Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku untuk selama-lamanya".

Oleh itu wahai pembaca sekalian, marilaj kita semua beramal soleh. Semoga kematian akan menjadi pelajaran yang berharga bagi kita dalam menjalani hidup ini. Rasulullah s.a.w menganjurkan kita untuk sentiasa mengingat mati dan dalam sebuah hadisnya yang lain, Baginda bersabda, "Wakafa bilmauti wa'idha" (Cukuplah mati itu untuk menjadi pelajaran bagimu)! Semoga bermanfaat bagi kita semua sahabat yang mungkin terlalu sibuk bekerja. Luangkanlah waktu sejenak untuk membaca dan merenungi pesanan ini. Alhamdulillah, kita beruntung kerana masih dipanjangkan umur untuk terus beribadat kepada-Nya di samping aktiviti harian kita yang selalu mencuri konsentrasi kita sehingga lupa dengan sesuatu yang kita tak pernah tau bila kedatangannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan