(14) 24/02/09 Ujian Bulan Februari



Sebagaimana selalu, Ujian Berkala Berpusat (UBB) dijalankan bermula pada bulan Februari. Ujian ini dijalankan selama 3 hari bermula dari Isnin, 23/02 hingga Rabu, 25/02. Setiausaha Peperiksaan, Cikgu Asmadera Mat Esa merupakan orang yang paling sibuk setiap kali menjelangnya UBB. Beliau bertungkus-lumus menyediakan jadual guru-guru bertugas. Setelah menerima kertas soalan, beliau dan beberapa orang guru (AJK Peperiksaan) akan memastikan kecukupan kuantiti kertas soalan yang diterima, menyediakan kertas objektif seterusnya mengagih mengikut kelas.

Suasana hari ini dan semalam kelihatan tenang dan peperiksaan berjalan lancar. Walau bagaimanapun, sesekali kita dapat melihat Cikgu Asmadera terkejar-kejar mencari guru ganti jika terdapat guru-guru yang 'masyaqqah' dan tidak dapat masuk kelas.

(13) 22/02/09 Program Bulan Bahasa

Program Bulan Bahasa anjuran Panitia Bahasa Melayu telah dilancarkan pada 1 Feb. yang lalu dengan mengetengahkan beberapa aktiviti sebagai pengisian seperti pertandingan tulisan cantik, pertandingan membina ayat, mengarang berdasarkan gambar serta mencari perkataan tersembunyi bagi Tahap 1 manakala bagi murid-murid Tahap 2 pula pertandingan mengarang, bercerita, mendeklemasi sajak dan peraduan teka silang kata. Program ini mensasarkan objektif untuk memupuk kesedaran dan kecintaan terhadap Bahasa Melayu, menggunakan bahasa baku dengan betul serta meningkatkan kreativiti murid dalam pelbagai aktiviti bahasa.

Pada pagi ini, panitia telah menjalankan satu lagi aktiviti di mana majlis yang dipengerusikan oleh Guru Penyelaras PSS, Cikgu Suria bt. Ismail telah dimulakan dengan ulasan buku oleh Nik Abdul Adzeem b. Nik Azhar, Penolong Ketua Pengawas PSS diikuti dengan Saidatul Nur Afiqah bt. Mohd. Anuar, Ketua Penolong Pengawas yang menyampaikan pidatonya bertajuk 'Malaysia Negaraku Tercinta'. Beliau turut terpilih untuk mewakili sekolah dalam
Pertandingan Pidato DiRaja.

Saidatul Afiqah - pidato


Nik Abdul Adzeem - ulasan buku

Akhir sekali, upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh PK1, Tn. Hj. Zakaria b. Mat serta Ketua Panitia BM, Cikgu Hjh. Faizah bt. Hj. Seman kepada murid-murid Tahap 1 yang telah berjaya dalam pertandingan sempena Bulan Bahasa iaitu pertandingan membina ayat berdasarkan gambar (Tahun 2) dan membuat karangan pendek berdasarkan gambar (Tahun 3). Hadiah-hadiah lain akan disampaikan semasa perasmian penutup pada 5 Mac nanti.



Para pemenang pertandingan bahasa


Cikgu Hjh Faizah & Cikgu Suria - dua tenaga penting dalam
menjayakan program Bulan Bahasa

(12) 22/02/09 Kejohanan Ragbi MSSK

Baru-baru ini tiga murid SKSM telah terpilih mewakili Kota Bharu Selatan ke Kejohanan Ragbi Bawah 12 Tahun MSS Kelantan 2009. Kejohanan tersebut telah diadakan pada 16 & 17 Februari yang lalu bertempat di SK Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Pasukan Kota Bharu Selatan telah mendapat Naib Johan (Sijil Perak) dalam pertandingan tersebut. Tiga orang murid tersebut telah menerima penghargaan (medal dan sijil) pada perhimpunan pagi tadi iaitu;
1) Afiq b. Razali
2) Mohd. Adam b. Mohd. Asri
3) Azwar Ahza b. Mardzukee


Sebelum itu, Pasukan Ragbi SKSM di bawah latihan Cikgu Najib b. Zakaria dan dibantu oleh Cikgu Hj. Ahmad Mokhjamil b. Mokhtar telah
mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Ragbi MSSK Kota Bharu Selatan yang telah diadakan pada 2, 3 & 4 Februari lalu di SK Padang Mokan.



(11) 22/02/09 Mesyuarat Bulan Bahasa

Satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Penolong Kanan 1 telah diadakan bagi membincangkan tentang pelancaran Program Nilam 2009 serta perasmian penutup Bulan Bahasa. Majlis tersebut akan diadakan pada 5 Mac nanti dan dijangka akan dirasmikan oleh pihak BTPN (dulu PSPN).



(10) Keputusan Pelaksanaan PPSMI

Persidangan Meja Bulat Inggeris (PPSMI) yang diadakan pada Disember 2008 lalu merumuskan 7 pilihan untuk kerajaan pertimbangkan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI. Pilihan-pilihan itu ialah;
1> Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2> Menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3> Memulakan PPSMI dari Tahun 4-6.
4> Menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah tetapi meneruskan sepenuhnya di sekolah menengah.
5> Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh pihak sekolah.
6> Penggunaan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun 1-3 diikuti dwibahasa pada Tahun 4-6 sekolah rendah dan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7> Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun 1-3 tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

(9) 15/02/09 Penyampaian Sijil Olahraga QIT Melor

[ KLIK PADA GAMBAR ]


Sewaktu perhimpunan pada pagi ini, telah diadakan satu majlis penyampaian sijil kepada para pemenang Kejohanan Olahraga Bawah 12 Tahun Peringkat QIT Melor yang berlangsung pada hari Rabu, 11/02/09 di Padang SK Ketereh baru-baru ini. Mereka yang berjaya dalam kejohanan tersebut ialah menerusi acara;

1) 100M (L)
- Azwa (Johan) / Firdaus (N/Johan)
2) 100M (P) - Nur Aina (N/Johan)

3) 200M (P) - Nurul Nadirah (Johan)
4) 80M Berpagar (P) - Nur Adlina (Johan) / Nurul Nadirah (Ke-3)
5) Lompat Jauh (P) - Nur Aini (Johan)
6) Lontar Peluru (P) - Nur Farhain (Johan) / Anis Tasnim (Ke-3)

Semoga terus maju jaya di peringkat seterusnya!

(8) 11/02/09 Kejohanan Olahraga QIT

[ KLIK PADA GAMBAR ]


Pada hari ini, seramai 16 orang murid sekolah ini telah menyertai Kejohanan Olahraga Bawah 12 Tahun Peringkat QIT Melor yang berlangsung di Padang SK Ketereh. Mereka mengambil bahagian dalam acara lumba lari, lari berpagar, lompat jauh & lontar peluru. Para peserta diiringi oleh 4 orang guru selaku jurulatih iaitu Cikgu Hj. Mokhjamil (K), Cikgu Mohd. Najib, Cikgu Mohd. Shukran & Cikgu Hjh. Faizah.

Keputusan yang diterima amat membanggakan. Daripada 16 penyertaan, 9 daripada mereka telah terpilih mewakili QIT Melor ke peringkat Antara QIT-QIT Kota Bharu... dan yang paling menggembirakan, SKSM telah muncul sebagai JUARA KESELURUHAN!!! Tahniah utk semua pemenang dan guru-gurunya.

(7) 07/02/09 Gambar2 Gotong-Royong

[ KLIK PADA GAMBAR ]
Penolong Kanan 1, Tn. Hj. Zakaria sedang menyampaikan taklimat ringkas

Mengecat tembok sekolah menggunakan cat alas

Mengangkut pasir untuk ditambun di kawasan lopak di padang sekolah

Memotong rumput di padang sekolah

Muafakat membawa berkat. Apa yang penting??? Kerjaaasamaaa...
Apa yang penting??? Kerjaaasamaaa...


(6) 07/02/09 Gotong-Royong Bersama Ibu Bapa

[ KLIK PADA GAMBAR ]

Cikgu Najib sedang mengacau cat agar sebati..... asyik nampak!


Eh ehh... ada orang ambik gambar rupanya

Menggembur tanah di sekeliling pokok bunga

Pada hari Sabtu yang lalu, SKSM telah mengadakan 1 aktiviti gotong-royong yang dihadiri oleh para guru, staf sokongan dan para ibu bapa. Setelah sesi taklimat yang disampaikan oleh PK1, Tn. Hj. Zakaria Mat, para guru dan ibu bapa dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu mengecat tembok, mencuci longkang, memangkas pokok bunga, menyimen, memotong rumput, membersihkan kelas dsb.

Tuan Guru Besar, En. Ismail Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para ibu bapa yang hadir. Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang tidak dapat hadir namun masih sempat menghulurkan sumbangan material kepada pihak sekolah untuk menjayakan program. Majlis diakhiri dengan jamuan bubur, roti dan air sirap... sungguh menyelerakan apabila makan beramai2 setelah penat bekerja.

Catatan Penulis:
Teringat jame dulu2 - ore kapong make cendol, bubur kace, bubur caca, lokpat tike, serabe, putu maye, dsb. selepas 'make pinjeme' smd kerja2 di baruh, usung rumah, menebas kebun dsb.

(5) 04/02/09 Pemantauan Bimbingan Pelaksanaan P&P PPSMI

[ KLIK PADA GAMBAR ]
Pn. Aida Suzanna sedang menyampaikan taklimat tentang dapatan pemantauan beliau.

Pn. Aida sedia menerima pandangan, cadangan dan permasalahan dari pihak guru-guru.

Pada minggu lepas SKSM telah dilawati oleh seorang nazir sekolah, Pn. Aida Suzanna bt. Kamaruddin yang melakukan lawatan selama 2 hari bermula hari Rabu, 04/02/09 hingga Khamis, 05/02/09. Beliau telah membuat pemantauan dalam beberapa aspek termasuklah pentadbiran, pengurusan, kurikulum & lebih menjurus kepada pengurusan serta p&P PPSMI. Beliau juga sempat mencerap beberapa kelas p&p yang terlibat dengan PPSMI. Menurut Pn. Aida, setelah melakukan pemantauan dan pencerapan, beliau berpuas hati dalam banyak hal di sekolah ini. Tidak banyak teguran yang dibuat memandangkan SKSM telah sedia melaksanakan apa yang sepatutnya.

Catatan Penulis:
Sebenarnya lawatan nazir ke sekolah ini merupakan satu peristiwa yg amat bersejarah dlm hidup saya. Ini krn, sepjg saya berada di SKSM sejak tahun 1998, inilah kali pertama sekolah ini dikunjungi nazir. Malah, sejak saya mula mengajar pd tahun 1990 pun, saya belum pernah merasai kunjungan nazir (mmg tak nak pun...). Sememangnya sebelum ini apb disebut aje pihak nazir, seram sejuk jadinya & kecut perut dibuatnya. Kita mcm 'alergik'lah.... takuuut!!! Tapi sejak kehadiran Pn. Aida ke sekolah ini, ia telah mengubah persepsi saya terhdp pihak nazir. Rupa2nya kedtgan pihak nazir membuka ruang bagi para guru utk berbincang, mengenalpasti masalah & mencari jln penyelesaian... Suasana majlis penutupan berjln dg lancar & mesra... jauh meleset dari apa yg bermain di kepala saya & apa yg saya sangkakan selama ini.

(4) 01/02/09 Pelantikan Pengawas Sekolah

[ KLIK PADA GAMBAR ]


Pada hari Ahad lepas, unit HEM melalui Badan Disiplin Sekolah telah mengadakan majlis penyampaian watikah pelantikan pengawas kepada 65 orang murid yang terpilih. Penyampaian watikah tersebut telah disempurnakan dengan kerjasama dari pihak PDRM (IPD Kota Bharu). Selepas ucapan Tuan Guru Besar, Tn. Inspektor Sheikh Mohamod Ali, Pegawai Hal Ehwal Awam IPD Kota Bharu telah berkenan untuk menyampaikan nasihat-nasihat berguna sebagai panduan untuk semua warga sekolah.Tidak lupa, tahniah untuk Guru Disiplin, Cikgu Ainuddin yang bertungkus-lumus memastikan program berjalan lancar.

(3) 31/01/09 Perjumpaan Dengan Ibu Bapa UPSR

[ KLIK PADA GAMBAR ]
Persiapan taklimat oleh PK1, Tn. Hj. Zakaria dan S/U Peperiksaan, Cikgu Asmadera

Pendaftaran ibu bapa

Kehadiran ibu bapa menunjukkan keprihatinan mereka terhadap
perkembangan pelajaran anak-anak.


Ucapan Tuan Guru Besar


Tips-tips pembelajaran disampaikan oleh Cikgu Aniza

Pada hari Sabtu, 31/01/09 yang lalu, SKSM telah mengadakan perjumpaan antara pihak pentadbir, guru-guru Tahun 6 dan ibu bapa murid-murid Tahun 6 yang bakal menduduki UPSR pada bulan September nanti. Kehadiran ibu bapa adalah menggalakkan.

Ucaptama oleh Tuan GB, En. Ismail Ibrahim mempersembahkan tayangan slaid menerangkan tentang latar belakang sekolah, visi & misi, pelunjuran UPSR serta situasi2 semasa di sekolah ini. Seterusnya PK1, Tn. Hj. Zakaria Mat pula menyampaikan taklimat tentang program-program UPSR yang telah disusunatur untuk dilaksanakan pada tahun ini. Berkutnya Cikgu Aniza Ismail menyampaikan tips-tips berkenaan dengan keibubapaan, persediaan belajar, persiapan menghadapi peperiksaan, penjagaan makanan untuk kesihatan dan kecerdasan minda, dsb. Akhir sekali para guru dan ibu bapa menikmati juadah yang disediakan sambil berbincang tentang anak-anak mereka.


(2) Senarai Guru Besar Yang Pernah Berkhidmat Di SKSM

1. En. Hussain b. Yusoff (1961 – 1968)
2. En. Ariffin b. Basri (1969 – 1974)
3. En. Ariffin b. Hj. Hassan (1975 – 1979)
4. En. Othman b. Jaafar (1980 – 1984)
5. En. Abdul Kadir b. Abdul Rahman (1985 – 1987)
6. En. Abdullah b. Mustaffa (1988 – 1989)
7. En. Abdullah Zawawi b. Abu Bakar (1989 – 1992)
8. Tn. Hj. Hilmi b. Dato' Hj. Ismail, PB (1992 – 1993)
9. En. Mokhtar b. Hj. Yaacob (1993 – 1995)
10. Tn. Hj. Nik Aziz @ Ab. Aziz b. Nik Mahmood (1995 – 2005)
11. En. Mohamad Shuhaimi b. Mohd. Fauzi (2005 - 2007)
12. En. Ismail b. Ibrahim (2007 hingga sekarang)

(1) Sejarah Sekolah Kebangsaan Sri Melor

Idea penubuhan sekolah ini telah dicetuskan oleh seorang tokoh tempatan iaitu Tuan Haji Wan Ismail bin Wan Mahmood, bekas Penggawa Daerah Gunung Barat, Bachok yang telah menubuhkan satu jawatankuasa penaja untuk melaksanakan urusan penubuhan dan pendaftaran SRJK (Inggeris) Melor pada tahun 1958. Beberapa siri rundingan telah dijalankan dengan pihak-pihak tertentu sejak dari zaman Ketua Pegawai Pelajaran Kelantan, Mr. D. Bannet hinggalah kepada Mr. C. Stowe dan Mr. J.A. Mc Gumiskey.

Pada 02.01.1961, SRJK (Inggeris) Melor telah dibuka dengan rasminya di bawah pentadbiran Guru Besar, En. Hussain b. Yusoff yang berkelulusan Maktab Perguruan Kirby, England dengan menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Melor sebagai persekolahan sesi petang. Sesi pertamanya terdiri daripada murid seramai 119 orang yang diagihkan kepada 3 kelas dengan tenaga pengajarnya hanya seramai 5 orang sahaja termasuk Guru Besar. Kemudian pada tahun 1963, SRJK (Inggeris) Melor telah berpindah ke bangunan Sekolah Arab Melor yang terletak bersebelahan Masjid Melor sekarang dengan nama barunya Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Melor dan pada tahun 1980 barulah SRK Melor berpindah ke tapak bangunan yang ada sekarang.

Berikutan Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia, Bil.1/1997/KP(BS)8591/jld.vii (46) bertarikh 02.01.1996 yang menyatakan bahawa semua Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) telah dimansuh dan diubah menjadi Sekolah Kebangsaan (SK) maka mesyuarat AJK PIBG telah memutuskan nama SRK Melor diubah kepada SK Sri Melor dan bukannya SK Melor kerana nama tersebut telah sedia dipakai oleh sebuah sekolah di sini. Pada hari ini, SK Sri Melor mempunyai 5 blok bangunan dengan 29 buah kelas, lengkap dengan bangunan makmal komputer, makmal j-Qaf, prasekolah dan sebuah surau. Bilangan murid juga telah mencecah 1050 orang dengan gurunya seramai 59 orang dan bilangan staf sokongan 10 orang.