(340) Tak Seronokkah Raya Tanpa Mercun?


Pada setiap tahun, seringkali saya terserempak dengan murid-murid SKSM bermain mercun. Lebih mengejutkan, saban tahun juga ada yang berniaga mercun di pasar Ramadhan di Pekan Melor. Apa kata pada tahun ini kita menyambut Aidil Fitri tanpa mercun. Kenapa kita perlu mengambil risiko mendedahkan diri sendiri dengan bahaya demi mengecap keseronokan itu hingga terlupa perbuatan ini bukan saja menyusahkan diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Walaupun mercun diharamkan, masih ada yang menjual bahan terlarang ini berdasarkan peningkatan permintaan daripada orang ramai yang ingin mendapatkannya, selain semakin banyak rampasan mercun dan bunga api oleh pihak berkuasa dari setahun ke setahun. Pada musim perayaan, ramai orang berlumba-lumba membuat keuntungan cepat melalui penjualan mercun dan bunga api kerana pada tempoh ini permintaan terhadap bahan itu meningkat mendadak.

Jika tidak dapat menjualnya secara terbuka, mereka memilih untuk mengedarnya secara sembunyi. Kegiatan menjual mercun akan terus ‘hidup’ kerana pembekal yakin orang yang akan membelinya walaupun kerajaan melarang ia dibakar secara terbuka. Hakikatnya, ramai sanggup membakar wang untuk mendapat sedikit kepuasan.

Oleh itu, kes putus jari, melecur dan pelbagai kecederaan akibat mercun seperti yang disiarkan media massa saban tahun tidak akan ada kesudahan. Kecederaan yang dilaporkan bukan hanya berpunca angkara mercun yang dijual di pasaran, malah turut diakibatkan letupan buatan sendiri seperti meriam konkrit, meriam buluh atau meriam karbaid. Itulah padahnya apabila daya kreatif yang ada disalurkan pula kepada perbuatan yang salah. Terkena diri sendiri tentulah sakit, inikan pula mencederakan orang lain. Menyesal tak sudahlah jawabnya. Harap-harap, masih ramai anggota masyarakat kita mampu berfikir panjang dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan bermain mercun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan