(339) Cedera Angkara Mercun


Termuat di dada beberapa akhbar semalam ialah berita mengenai seorang kanak-kanak yang kehilangan 3 jari di tangan kiri akibat terkena mercun pada hari Sabtu lalu. Mangsa dikenali sebagai Muhammad Nur Sufyan (6 tahun) dari Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Paparan berita tersebut dipanjangkan dalam blog ini bukan untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati semua murid SKSM agar tidak bermain mercun menjelang hari raya nanti kerana khuatir akan mendapat kemalangan.

Jika kebanyakan kanak-kanak dan remaja di beberapa negara bergolak di Asia Barat menderita atau cedera kerana mempertahankan tanah air mereka dari serangan musuh, segelintir kanak-kanak dan remaja di negara kita pula menderita kerana sengaja menempah maut. Remaja di Asia Barat seperti yang dipapar melalui media massa cedera parah, kehilangan anggota badan, malah ada yang terkorban dek tembakan dan letupan kerana mempertahankan tanah air daripada diceroboh tentera Zionis, sayangnya segelintir remaja di Malaysia yang aman damai ini sengaja mengundang musibah dan mencederakan diri dengan
bermain mercun.

Sudah seperti satu kemestian setiap kali ada sambutan perayaan di negara ini, ia akan disertai dengan aktiviti membakar mercun dan bunga api, tidak kira sama ada perayaan menyambut tahun baru, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Aidilfitri, budaya bermain mercun seakan-akan tidak boleh dilupakan setiap kali datangnya perayaan. Mungkin bagi ramai orang, aktiviti membakar mercun dapat menambahkan lagi kemeriahan suasana perayaan, terutama bagi masyarakat Cina yang sudah menjadikannya sebagai tradisi setiap kali menyambut tahun baru dalam kalendar Cina. Fenomena itu sedikit sebanyak menular dalam masyarakat Melayu yang turut terbawa-bawa dengan kegiatan membakar mercun dan bunga api ketika menyambut Aidilfitri.
Disebabkan itu, setiap kali musim perayaan, riuh-rendahlah kawasan perumahan di bandar dan di kampung dengan dentuman mercun yang dimainkan anak-anak muda (dan tidak ketinggalan orang dewasa), termasuklah golongan bapa yang sepatutnya menasihatkan anak-anak mereka jangan membakar mercun kerana ia perbuatan membazir.

Namun yang menjadi inti pati soal mercun dan bunga api ialah kes kemalangan dan kecederaan akibat mercun yang saban tahun menjadi bahan laporan media massa pada musim perayaan.
Meskipun kerajaan sudah mengharam dan menguatkuasakan undang-undang yang membabitkan aktiviti penjualan, pembelian dan pembakaran mercun, tragedi pilu seperti ini masih berulang. Mungkinkah masyarakat kita belum sedar walaupun sudah menyaksikan pelbagai derita yang ditanggung mangsa yang bermain mercun atau sukar bagi mereka untuk mengikis kecelaruan budaya ini hingga tragedi malang betul-betul menimpa diri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan