(326) Ramadhan Datang Lagi...


Dalam beberapa hari lagi, sebagaimana yang kita sering doakan selama ini "Allahumma ballighna Ramadhaana", maka kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat itu. Sebelum itu mari kita renungi beberapa fakta berkenaan dengan bulan ini.

1) Disampaikan daripada para sahabat r.a bahawa Rasulullah s.a.w menjadi seorang yang lebih berlemah lembut dalam bulan ini.

2) Kita boleh menjadikan Ramadhan seumpama sekolah untuk melatih diri kita agar lebih bertakwa kepada Allah pada bulan-bulan yang lain pula.
3) Allah memberi motivasi kepada kita dengan merantai syaitan-syaitan. Oleh itu, sebagaimana di sekolah, kita berada dalam persekitaraan yang tertutup daripada pengaruh luar yang boleh mengganggu pelajaran kita.
4) Terdapat banyak perbincangan berkenaan syaitan dirantai pada bulan Ramadhan namun jika diperhatikan matan hadis berkenaan, tidak pula dinyatakan bahawa kesemua syaitan itu dirantai. Ianya cuma dinyatakan dalam bentuk jamak, iaitu lebih daripada 2.
5) Walau bagaimanapun, jika masih ada manusia yang melakukan kemungkaran pada bulan Ramadhan, jangan pula kita pertikaikan hadis berkenaan kerana Allah telah terangkan bahawa syaitan terdiri daripada jin dan juga manusia (al-An’am : 112).
6) Bagi mereka yang berpuasa pada bulan yang mulia ini, dosa-dosa lalu akan diampunkan, dengan syarat adanya iman dan pengharapan. Dalam konteks ini, iman ialah mempercayai ganjaran yang besar untuk mereka yang berpuasa serta tidak lupa kepada ancaman bagi mereka yang meninggalkan puasa, misalnya di akhirat kelak akan diikat peha-peha mereka dan mulut akan dikoyak sehingga keluar darah yang banyak. Pengharapan pula adalah mengharapkan agar puasa kita diterima Allah. Dengan pengharapan ini kita sepatutnya berpuasa sehabis baik berdasarkan cara sebagai mana Rasulullah berpuasa.

7) Ilmu berkaitan puasa wajib dituntut. Entah berapa ramai dari kita ini yang berpuasa sekadar ikut-ikutan sahaja tanpa berusaha mencari cara puasa Rasulullah. Memandangkan puasa merupakan amalan agama, tidak ada contoh lain yang boleh kita ikuti selain daripada Nabi Muhammad.
8) Agama Islam diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada umat baginda. Sangatlah pelik bila ada amalan agama Islam yang dilakukan tanpa mencontohi baginda.


Ikhlaskanlah puasa kita hanya kerana Allah agar kelak, dengan terhapusnya dosa-dosa lalu maka kita akan lebih mudah bertakwa kepada-Nya. Marilah kita sama-sama menetapkan visi kita di bulan yang mulia ini agar kita menjadi manusia yang lebih bertakwa kepada Allah iaitu dengan bersungguh-sungguh melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.



Disunting dari;

Blog Abu Muaz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan