(301) Bilik Gerakan


Pada petang Khamis, 6 Ogos nan permai telah diadakan satu taklimat untuk semua guru bertempat di Bilik Gerakan. Memandangkan staf akademik telah bertambah dari semasa ke semasa, maka Bilik Gerakan menjadi begitu padat dan sendat sehingga ada yang terpaksa duduk di lantai. Kalau kerusi tidak cukup, mereka boleh mengambilnya di bilik-bilik lain dan membawa masuk ke Bilik Gerakan, tetapi masalah sekarang, tidak ada tempat lagi untuk kerusi-kerusi dibawa masuk ke situ kerana setiap inci ruang dipenuhi oleh manusia. Begitulah gambaran betapa Bilik Gerakan yang dulunya selesa digunakan pada bila-bila masa, namun sekarang telah bertukar menjadi sempit.

Seperkara lagi, apa yang jelas kaum lelaki semakin pupus di sekolah ini. Kalau dulu Bilik Gerakan terbahagi kepada dua di mana guru-guru lelaki mengisi ruang di sebelah kanan manakala yang perempuan di sebelah kiri, tapi kini guru-guru perempuan umpama 'Belanda minta tanah' apabila mereka juga telah mula memenuhi ruang tengah di sebelah kanan. Apa yang tinggal untuk guru-guru lelaki hanyalah sebaris ruang di sebelah kanan di tepi tingkap. Betapa tidak, bilangan guru perempuan sekarang adalah seramai 40 orang berbanding lelaki hanya 21 sahaja.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan