(299) Mewarnakan Rambut

Hukum Mewarna Rambut

Mengikut fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi mengenai hukum mewarna rambut (Alhalal Walharam fil Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi, hal. 89-09): Umat Islam dibenarkan mewarnakan rambutnya.

Satu riwayat menjelaskan apabila orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dengan beranggapan berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dan beragama lalu Rasulullah s.a.w. melarang mengikut (taqlid) kepada suatu kaum dan mengikuti jejak langkah mereka, supaya umat Islam sentiasa mempunyai keperibadian yang berbeza, zahir dan batin. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarnakan rambut, oleh itu berbezalah kamu dengan mereka. (Riwayat Bukhari)

Perintah di sini mengandungi maksud sunat sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para sahabat, umpamanya Saiyidina Abu Bakar dan Umar manakala yang lainnya tidak pula mewarna rambut seperti Ali, Ubai bin Ka'b dan Anas.

Tetapi, dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala atau janggut tidak selayaknya mewarna dengan warna hitam. Ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (RiwayatMuslim)

Manakala bagi mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari)

Segolongan ulamak salaf membenarkan mewarna dengan warna hitam, mereka ialah Saad bin ABi Waqqas, Uqbah bin Amir, Hasan, Husain, Jarir dan selainnya. Sebahagian ulamak berpendapat tidak boleh dengan warna hitam kecuali dalam keadaan perang agar dapat menakutkan musuh kerana mereka akan melihat semua tentera-tentera Islam masih kelihatan muda. (Fathul Bari).

Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: "Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (Riwayat Tarmizi dan Ash-Habusunan)

Katam adalah satu pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai berwarna merah. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

Walau bagaimanapun, amat sayang sekali pada hari ini apabila yang berlaku adalah sebaliknya. Jika melihat kepada saranan Nabi kepada kita agar mewarnakan rambut apabila telah beruban supaya berbeza dengan orang Yahudi, namun sekarang ini sebahagian dari kita mewarna rambut kerana tidak ingin berbeza dengan orang kafir.

Sudah menjadi tabiat, bangsa yang lemah meniru bangsa yang kuat. Dan, kerana orang barat rambutnya berwarna perang maka sebahagian anak-anak muda Islam mewarnakan rambutnya dengan warna perang agar kelihatan seperti orang barat. Sebahagian yang lain pula mewarna-warnikan rambut kerana mengamalkan budaya punk.

"Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong di dalam kaum itu." (Riwayat Abu Daud)


Air Tidak Sampai ke Anggota Wuduk/Hadas

Para ulamak telah ijmak mengatakan wajib menyampaikan air ke tubuh badan sama ada mandi atau wuduk, kecuali ketika darurat. Dalilnya - hadis riwayat al-Khamsan dan disahihkan oleh al-Tarmizi dari Laqith bin Shabrah serta hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Daruquthni dari Abu Rafi' dengan sanad Dha'if.

Oleh itu, apakah pewarna yang ada tanda halal boleh digunakan? Jawapan secara umumnya adalah berdasarkan kepada dua penjelasan tadi iaitu asalkan produk berkenaan bebas dari najis, dan tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi hadas. Masalah ini sama dengan masalah pewarna kuku. Islam membenarkannya tetapi bahan yang digunakan mestilah menepati ciri-ciri di atas.

Untuk mengetahui sama ada bahan berkenaan menghalang air ataupun tidak, kami kira tidak susah. Jika ia berfungsi seperti inai atau za'faran atau kunyit, maka tidak mengapa. Jika ia sebagaimana minyak hitam (motokar), cat dsbnya, sudah tentu ia menghalang air.

Wallahu a'lam.


Oleh;
zain ys
Panel aL-AHKAM online
http://al-ahkam.com.my/soaljawab/soaljawab155.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan