(289) Persediaan Menghadapi UPSR (ii) - Nota


Salah satu cara sebagai persediaan menghadapi peperiksaan ialah dengan menyemak nota-nota ringkas sama ada kad-kad nota, nota-nota ringkas atau peta-peta minda yang telah anda buat sebelum ini. Semakan semula nota-nota ringkas ini akan memberikan peluang kepada anda untuk mengesan kelemahan anda pada sesuatu topik. Anda perlu ingat, ketika ini bukan lagi masa untuk mempelajari perkara-perkara baru sebaliknya mengulangkaji fakta-fakta penting.

Ambil tindakan segera untuk mencari maklumat tambahan mengenai apa yang anda masih tidak faham sama ada daripada guru anda sendiri ataupun berbincang dengan rakan-rakan yang lebih mengetahui. Semasa mengulangkaji, dapatkan tip daripada guru-guru mengenai topik-topik mana yang dirasakan penting untuk diberi penekanan. Selalulah bersemuka dan berbincang dengan guru anda kerana mana tahu, kadang kala melalui komunikasi bersemuka ini, anda akan menerima tip-tip istimewa daripada guru anda.

Tip untuk mengingat;
i) Bagi mengingati fakta-fakta yang sukar, anda boleh membentuk akronim bagi pangkal huruf fakta, sebagaimana yang anda lakukan untuk mengingati warna-warna pelangi serta nama-nama planet mengikut turutan.
ii) Anda juga boleh mengaitkan fakta-fakta dengan kejadian-kejadian yang mempunyai kaitan dalam hidup anda. Seorang pelajar cemerlang PMR yang mendapat 16A, Yap Swee Lin (jangan-jangan saudara dengan Teacher Yap Swee Mee sekolah kita, tak?) berkata, untuk memudahkan pengingatan fakta sejarah beliau membayangkannya dalam bentuk persembahan teater.
iii) Membentuk rajah dan diagram mudah terutamanya bagi mengingati fakta-fakta yang memerlukan urutan.
iii. Berlagak seperti guru. Anda boleh mencuba petua ini iaitu dengan cara menjelaskan sesuatu konsep secara verbal dan bukan bergantung kepada bahan atau buku-buku ulangkaji. Dengan berbuat begini, anda boleh membayangkan sesuatu konsep secara lebih jelas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan