(280) Doa Memulakan Tugas

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Tuhan yang Mengasihani, Tuhan yang Merahmati, Tuhan yang Mengampuni, Tuhan yang Menguasai, Tuhan yang Mengurniai. Dengan nama Allah, apa yang dikehendaki Allah hanya Allah sahaja yang boleh menghampirkan. Dengan nama Allah, apa yang dikehendaki Allah hanya Allah sahaja yang dapat menghindarkan. Dengan nama Allah apa yang dikehendaki Allah hanya Allah sahaja yang memiliki kekuatan.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Jadikanlah kami orang-orang yang dianugerahi akan nikmat Engkau yang tahu mensyukuri dan tahu memuji. Pimpinkanlah kami untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik yang Engkau redai. Hindarkanlah kami daripada mala petaka-Mu yang kami takuti.

Ya Rahman Ya Rahim,
Berikanlah pertunjuk kepada kami di sisi Engkau, berikanlah keutamaan ke atas kami dengan keutamaan Engkau, cucurilah ke atas kami akan rahmat Engkau, turunkanlah kepada kami akan keberkatan Engkau. Sesungguhnya kami mohonkan akan petunjuk, ketakwaan, kawalan nafsu serta kekayaan daripada Engkau.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Jadikanlah pekerjaan kami yang memberikan perkhidmatan kepada ummah ini sebagai ibadah, dengan perjalanan urusan yang mudah, benar-benar mengikut hukum dan peraturan agama sebagai wadah dan bukannya penyelewengan yang tercegah. Redailah kami dalam melakukan pekerjaan, perindahkanlah kami dengan kesihatan tubuh badan, dengan suasana bekerja penuh kesejahteraan, liputikanlah kami dengan sifat-sifat ketakwaan, dengan kekukuhan ilmu dan keimanan, dengan jiwa yang tenang penuh kesabaran, dengan perlindungan dari segala punca yang mendorong kekecewaan, agar kami dihindari penyesalan di hari kemudian.

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Bukakanlah kepada kami pintu kebijaksanaan yang bestari, Rahmat daripada Engkau pohon dicucuri, peringati kami apa yang kami lupai, ajarkan kami apa yang kami tidak mengetahui, kurniakan kami kefahaman sebagaimana kefahaman para Nabi dan kurniakan kami ilham sebagaimana ilham malaikat muqarrabin.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah sebaik-baik tempat untuk kami pohonkan pertolongan, kurniakanlah kepada kami apa jua kejayaan, rezeki dan kemewahan, kecerdasan akal fikiran, kesegaran tubuh badan, didekatkan segala kebaikan, dijauhi segala kejahatan, juga perlindungan dari segala macam penindasan.

Ya Allah,
Selamatkan kami, keluarga kami, pasangan kami, anak-anak kami, ibu-bapa kami, rakan taulan kami, pemimpin kami, guru-guru kami dan orang-orang yang berbuat baik kepada kami dari mara bahaya, musibbah dan kesesatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan