(220) Guru Masih Kurang


Bagi memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan menambah pengambilan guru itu dibuat berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.

Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun
institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru, apatah lagi kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini. Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan.
Pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran. Untuk bakal guru di sekolah menengah, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini. Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang.

Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, ia sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.
Namun, menurut beliau, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tiadak calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan. Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan