(187) Warkah Buat Mak

Mak,
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari. Dah hampir 10 bulan mak pergi. Rasanya baru semalam mak peluk kita, kan? Sejuk syahdu masih terasa lagi nih. Mak tau tak, itulah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni sejak kita dewasa (dan itulah juga yang terakhir kalinya). Emmmm... Rupa-rupanya nya mak dah tau mak nak pergi jauh, nak tinggalkan anak-anak mak, nak tinggalkan dunia fana ni. Mak macam dan sedia.

Seminggu sebelum tu, mak dah anyam tikar mengkuang 3 helai. Akak kata sampai kepagi mak anyam tikar tu, tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih. Kakak pun rasa hairan. Mak tak penah buat gitu. Lepas tu mak pasang radio kecil di sebelah mak, tapi mak seolah-olah tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran 'diam'. Mak terus tekun menganyam. Rupa-rupanya tikar yang telah mak siapkan tu digunakan untuk mengiringi mak ke kuburan.

Mak juga menyapu sampah sekeliling rumah bersih2. Pastu mak jemur karpet-karpet. Mak ubah kedudukan sofa ke tempat lain. Mak biarkan ruang tu kosong. Rupanya kat situ jenazah mak diletakkan. Paling menarik sekali, mak bagitahu kat mana semua duit dan barang kemas mak. Ada yang kat dalam almari, ada yang kat dalam dalam beg. Ada dalam ASB, ada kat dalam Tabung Haji. Mak cakap tak berapa cukup lagi tu, ada lagi kat dalam gulung tikar. Masa tu mak perasan tak kita gelak sakan bila mak bagitahu duit mak dalam gulung tikar. Kita kata m
ak ni memang fesyen lama laaa... mak cuma gelak jer. Emmm.... bahagianya saat itu.

Mak,
Hari itu hari Sabtu, 18/08/1999, pukul 03:00pm, mak tiba-tiba sakit perut. Bila malam tu kita sampai dari KL, mak tengah kesakitan. Akak dan abang kat kampung semua dah pujuk tapi mak tetap tak mahu ke hospital.... cuma tinggal giliran kita sahaja yang belum pujuk. Mak kata mak tak mahu duduk hospital, tapi kita berkeras juga pujuk. Nanti di hospital ada doktor, ada ubat untuk mak. Kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut aje. Mak tetap tak setuju. Mak memang degil. Tak salah, anak mak yang ni pun ikut perangai mak tu. Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk, mak sakit perut sampai nak sentuh pun sakit, kami adik-beradik sepakat hantar juga mak ke hospital.... Mak, ampunkan kami semua... kami nak mak sihat. Kami sayang mak. Kami tak mau mak sakit. Kami terpaksa hantar mak ke hospital. Ampunkan kami ye mak.

Mak,
Malam itu abang bawa mak ke hospital dan itulah kali pertama dan terakhir mak naik kereta kita... Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak bila kita kata nak beli kereta. Mak asyik tanya aje, cukup ker duit tu... Kita jawab, kalau tak cukup, mak kan banyak duit. Mak gelak aje. Lepas tu bila kereta kita sampai, mak buat kenduri kesyukuran. Dan kita masih ingat lagi, bila kita eksiden terlanggar India naik motor. Punya la kita takut. Kita warning kakak kita jangan sesekali bagitau kat mak. Bila balik sahaja kampung, kita cepat-cepat simpan kereta dalam garaj. Tapi mak perasan juga bumper depan kemik. Mak tanya kenapa. Selamba je
kita jawab terlangar pokok bunga. Mak, tujuan kita menipu tu bukan apa, supaya mak tak risau... Maafkan kita kerana sampai mak pergi pun mak tak tau hal sebenar. Mak, kita menipu mak, kan? Ampunkan kita, mak.

Waktu itu jam 04:30am. Bila tiba aje kat hospital, kita nampak nurse tengah balut mak dengan kain putih. Mak mesti nampak kita jatuh terduduk di lantai hospital. Mesti mak nampak abang cium dahi mak. Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak. Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu. Mesti mak nampak semua tu kann...? Kannn??? Mak tau tak, pagi itu, setelah mak dah tak ada, waktu kita balik dari hospital jam 05:20am, kita memandu dalam keadaan separuh sedar. Adik kat sebelah diam melayan perasaan. Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini. Jalan di depan terasa makin kelam. Air mata dah tak mampu ditahan-tahan. Masa tu, seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kita rela... Namun, alhamdulillah akhirnya kita sampai juga. Disebabkan pagi masih awal, jalan tu lengang, kosong... sekosong hati ini. Di sepanjang perjalanan terasa kedinginan Subuh itu lain benar suasananya. Terasa syahdu dan sayu gitu... dinginnnn.

Mak,
Kita masih ingat lagi, kita baca al-Quran kat tepi mak temankan mak. Jam 11:00am mak dimandikan. Anak-anak mak yang pangku masa mak mandi. Mak mesti rasa betapa lembutnya kami mengosok seluruh tubuh mak. Kita gosok kaki mak perlahan-lahan. Mak perasan tak? Makcik yang mandikan mak tu pujuk kita. Dia kata, jangan nangis. Kalau sayang mak jangan buat gitu. Jangan nangis, ya. Bila makcik tu kata gitu, lagi la laju air mata ini. Tapi kita kaw
al supaya tak menitik atas mak.

Mak,
Sampai takat ini surat ni kita tulis, ye mak? Kita tengah nangis ni. Ni kat dalam bilik. Baru pukul 04:00am. Takde orang yang bangun lagi. Kita dengar nasyid tajuk 'Anak Soleh' kita sedih. Kita rindu kat mak!!!!! Takpelah, nanti bila kita selesai solat Subuh kita baca Yasin untuk mak. Mak tunggu ya?

Mak,
Hari itu sebelum muka mak ditutup buat selama-lamanya, semua anak-anak mak mengelilingi mak, menatap wajah mak buat kali terakhir. Semua orang kata mak seolah-olah senyum aje... Mak rasa tak, masa tu kita sentuh dahi mak, kita rasa sejukkkk sangat dahi mak..... Kita tak mampu nak cium mak... Kita tak daya.... Kita tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar. Air mata kita tak boleh tahan.... Mak mesti ingat yang anak mak ni jadi imam solat jenazah untuk mak. Tapi kita suruh imam bacakan doa sebab kita sebak. Jam 12:00pm, mak diusung keluar dari rumah. Akak pula dah terkulai dalam pelukan makcik. Badan akak terasa panas... Mak, anak mak yang seorang tu demam. Mak tau, cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke kubur.

Mak,
Hari-hari yang kulalui tanpa kewujudan mak lagi... Begitu terasa kehilangan mak. Boleh dikatakan setiap malam selepas Maghrib anak mak ini berendam air mata. Dan sampai satu tahap, masa tu malam Jumaat lepas Maghrib. Selepas kita baca Yasin dengan kawan-kawan, entah kenapa bila kat bilik kita keluarkan gambar-gambar mak, lepas tu apa lagi, sema
kin kita tenung terasa semakin sayu. Tangisan tak dapat dibendung. Mak tau, kita cuba bertahan memujuk diri sendiri tapi tak juga reda. Kita rasa nak telefon mak. Nak cakap dengan mak.... dan akhirnya dalam sedu-sedan itu kita telefon kampung. Kita cakap dengan kakak, kita nangis lagi... Puas kakak memujuk kita. Akak kata, tak baik nangis aje. Berdoalah untuk mak. Nanti kalau gini aje mak yang susah kat sana. Dan akhirnya akak juga nangis..... Mungkin mak nampak adegan tu. Sebab malam tu malam Jumaat. Kata orang, malam Jumaat roh balik rumah, mengharap sedekah dari anak-anaknya... Mak tau tak, di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati... Rasa ngilu sangat-sangat. Menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ini. Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma, hanya sedekah al-Fatihah kita berikan.

Mak,
Cukuplah sampai di sini dulu. Kawan kita dah ketuk pintu bilik. Kejap lagi kami nak pergi solat Subuh kat masjid. Selalunya, kita yang bawak mak naik motor, kan? Kali ni kita jalan kaki je, dengan kawan pulak tu. Esok kita ingat nak tulis surat kat ayah pula. Mula-mula kita tak tau nak hantar mana surat nih. Pastu kawan kita bagitau, simpan aje buat kenangan. Kita cuma tau alamat email ni aje... Takpe la ye mak, kita kasi orang lain baca. Kita stop dulu. Sebab kawan kita dah lama tunggu tu. Akhir kata untuk mak, I love U so muchhh.... dan jutaan terima kasih kerana membesarkan kita, memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah, sampai masuk U. Sampai kita boleh rasa naik kapal terbang, boleh rasa duduk kat negara orang. Sampai akhir hayat ini jasa mak tak akan mampu kita balas.

Sekian, terima kasih.


Yang Benar,


Anak Mak Yang Dah Tak Degil.


*p/s: Bagi yang ada emak, tunjukkanlah kasih sayang anda sementara mereka masih ada.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan