(139) Kenapa Pelajar Ponteng


Pada masa kini terdapat bukan sedikit pelajar yang tidak mahu belajar, sama ada di rumah ataupun di sekolah. Pergi sekolah kerana disuruh atau dipaksa oleh ibu bapa. Jika bertemu dengan pelajar yang sama perangai dengannya, dorongan untuk ponteng sekolah semakin mudah berlaku, seolah-olah ada galakan. Pelajar seperti inilah yang tidak masuk ke bilik darjah biarpun ibunya menghantarnya setiap pagi sehingga ke pintu sekolah. Bagi ibu bapa yang inginkan anaknya menjadi manusia terpelajar dan berguna akan merasa hampa dengan perilaku anak-anak tersebut.

Pelajar seperti ini tidak sayangkan dirinya, pada hal segala-galanya telah disediakan termasuk ibunya yang menghantar setiap pagi hingga ke pintu pagar sekolah. Apa yang lebih menarik ialah untuk enjoy bersama-sama rakan yang sama pemikirannya. Ada juga pelajar yang lemah dalam pelajaran, tidak berupaya memahami apa yang diajar oleh guru merasakan belajar adalah sesuatu yang membosankan dan sia-sia. Hendak berhenti sekolah tidak berani kerana dipaksa oleh ibu bapa, untuk bekerja masih di bawah umur. Oleh itu dia merasakan sekolah itu tempat yang menjemukan dan membuang masa dalam hidupnya. Kewujudan pelajar-pelajar seperti ini memerlukan para guru yang kuat iman, memerlukan ketabahan yang kental ketika hendak masuk kelas tersebut. Masalah kelembapan bukan menjadi masalah utama kepada guru kerana keupayaan untuk belajar bagi setiap individu itu adalah anugerah.

Pelajar-pelajar seperti ini menjadi masalah kepada guru apabila ia membuat kacau dalam kelas, bergaduh sesama rakan, merosakkan harta sekolah juga menconteng atau mencalar kereta guru, terutamanya guru yang garang juga guru disiplin. Di sinilah letaknya tanggungjawab seorang guru dan ibu bapa. Guru bukan hanya setakat mengajar agar pelajar lulus dalam peperiksaan tetapi juga untuk membentuk dan mendidik akhlak. Profesion guru terlalu mencabar, lebih-lebih lagi di zaman moden ini. Selain mengajar untuk lulus peperiksaan, guru juga bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung membentuk akhlak pelajarnya. Kerana itu guru perlu mempunyai rasa minat terhadap tugasnya dan prihatin terhadap apa yang berlaku.

Guru juga perlu memahami tugas mengajar adalah merupakan amanah kepadanya. Dalam surah Yusuf: 53 Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat olah Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengampun". Berdasarkan maksud ayat di atas kita dapat pengajaran bahawa tabiat semula jadi manusia itu lebih berkecenderungan untuk melakukan kejahatan berbanding untuk melakukan kebaikan, kecuali mereka yang diberi rahmat Allah. Oleh kerana itu sekiranya manusia itu tidak dididik dengan baik, sama ada oleh ibu bapa atau guru, juga oleh masyarakat sekeliling maka kemungkinan seseorang itu terutamanya mereka dalam peringkat remaja akan lebih berkecenderungan terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat. Ada juga nak-anak yang terdidik tetapi terpengaruh oleh rakan sebaya untuk berseronok berkemungkinan akan ponteng sekolah. Ia mempunyai akal yang waras dapat membezakan baik buruk tetapi ia tidak berupaya untuk menggunakannya kerana lebih terpesona dengan keseronokan yang ada di depan matanya, apatah lagi dengan adanya dorongan lain seperti tayangan filem-filem dan sebagainya.

Selain daripada faktor di atas, ada satu makhluk yang dikenali sebagai 'qarin' yang bererti sesuatu yang menyerupai sahabat (al-Munjid, 1956:625). Qarin adalah daripada golongan makhluk-makhluk halus yang sentiasa berdampingan dengan manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk menggoda, menipu dan memesongkan manusia daripada jalan yang benar. Dengan godaan itu ia boleh menyebabkan manusia menganggap sesuatu yang buruk itu baik dan yang baik itu buruk. dengan dorongannya seseorang itu akan sentiasa terdorong untuk melakukan kejahatan yang dirasakan menyeronokkan, melahirkan rasa rela dan kepuasan. Qarin sentiasa berusaha menjerumuskan manusia dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin, tidak kira ia seorang nabi, seorang alim ataupun orang biasa. Dalam surah al-An'am: 112 firman Allah yang bermaksud: "Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh daripada jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu". Jelas bahawa yang dimaksudkan dengan syaitan itu ada dua, iaitu syaitan yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang tidak nampak dan syaitan yang zahir iaitu syaitan manusia di mana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu untuk menyesatkan atau merosakkan orang.

Teman-teman sekolah mempengaruhi teman lain untuk ponteng sekolah juga termasuk dalam golongan syaitan. Sama seperti mereka yang mengendalikan tempat-tempat hiburan, yang jelas membiarkan pelajar bermain judi atau snoker di kedainya, apatah lagi sekira ia tahu yang masuk itu adalah pelajar, biarpun mereka tidak berpakaian sekolah. Ketika di rumah, ibu adalah segala-galanya kerana ibu orang yang selalu berdamping dengannya. Dan peranan ibu ini diambil-alih oleh guru ketika di sekolah, walaupun demikian dalam banyak suasana persekitaran, iaitu yang terdiri daripada kawan-kawan juga pengaruh sekeliling, termasuk iklan-iklan di suratkhabar, di televisyen, di tepi jalan raya, cd, video dan segala-galanya lebih banyak dan mudah mempengaruhi kanak-kanak yang sedang meningkat dewasa berbanding dengan guru-guru biarpun mereka bermati-matian mengajar dan mendidik anak-anak.

Guru lebih cenderung dianggap sebagai sumber mendapat ilmu, yang dalam keadaan tertentu tidak difahami oleh sesetengah pelajar, lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang tidak memahami sepenuhnya bahasa yang digunakan oleh guru itu. Kerana itu guru tidak menjadi role model atau idola yang dikagumi. Seperkara lagi, berbanding dengan kecenderungan melakukan kebaikan, tabiat semula jadi manusia lebih cenderung melakukan kejahatan, kecuali mereka yang beriman kepada Allah swt
.


Diadaptasi Dari;
Ruangan Bicara Agama,
Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan