(64) Biodata Ringkas PM


YAB Dato' Seri Hj. Mohd. Najib b. Tun Hj. Abdul Razak dilahirkan pada 23 Julai, 1953 di Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan anak sulung Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak Hussein dan Toh Puan Rahah Mohamad Noah. Beliau juga merupakan sepupu kepada Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Tun Hussein. Dato' Seri Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6 bermula 3 April 2009, selain menjawat jawatan Menteri Kewangan I, ahli parlimen Pekan, Pahang dan merupakan bekas Menteri Pertahanan.

Keluarga
Isteri pertama beliau ialah Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar. Bersamanya, beliau mendapat 3 anak manakala dengan isteri kedua sekarang, Datin Seri Rosmah Mansor, beliau mendapat 5 anak iaitu 3 lelaki (Nizar, Nazifuddin dan Norashman) dan 2 perempuan (Puteri Norlisa dan Nooryana Narjawa).

Pendidikan
Dato' Seri Najib mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di Worchestershire, England. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974.

Kerjaya Politik
Dato' Seri Najib mula menceburkan diri dalam arena politik setelah kematian mengejut bapanya, Tun Abdul Razak Hussein di London pada 14 Januari 1976. Beliau menang tanpa bertanding merebut kerusi Parlimen Pekan ketika berumur 23 tahun dan merupakan ahli parlimen termuda yang pernah dipilih ketika itu. Beliau juga menjadi Timbalan Menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada tahun 1978 ketika berusia 25 tahun. Kemudian, pada tahun 1982 - 1986, beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berumur 29 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang dalam kabinet ialah:
* 1978-1980 - Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos
* 1980-1981 - Timbalan Menteri Pendidikan
* 1981-1982 - Timbalan Menteri Kewangan
* 1982-1986 - Menteri Besar Pahang
* 1986-1987 - Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan
* 1990-1995, 1999-2008 - Menteri Pertahanan
* 1995-1999 - Menteri Pendidikan

Najib juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan (Majuternak) pada tahun 1977-1979. Kepimpinan beliau teruji dan terus diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan negara. Dalam UMNO, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan ahli EXCO Pemuda UMNO pada 1976. Kemudian beliau dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO mulai tahun 1981. Pada tahun 1982, beliau memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding setelah Datuk Mokhtar Hashim mengosongkan jawatan itu.

Pada 1987, beliau diumumkan sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO setelah Dato' Seri Anwar Ibrahim bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau menjadi ketua pada 25 Mei 1988 setelah UMNO ditubuhkan semula. Pada tahun 1993, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO ekoran langkah Dato' Seri Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau terus mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada tahun 1993, 1996 dan 2000. Pada 7 Januari 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

1 ulasan: