(392) Laporan Ringkas Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-34 oleh S/U

Oleh;
Cikgu Saufi 
(Setiausaha PIBG)


Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-34 berjalan dengan lancar mengikut agenda yang telah ditetapkan. Tepat jam 03:00 pm para ibu bapa telah mula berpusu-pusu membuat pendaftaran di kantin sekolah seterusnya mengarah ke dewan. Setelah para hadirin mula memenuhi ruang, dif-dif kehormat termasuklah Timbalan Pengarah JPP Kelantan.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ust. Zakiyuddin diikuti ucapan alu-aluan oleh YDP PIBG, Tn. Hj. Nik Ab. Aziz b. Nik Mahmood. Seterusnya ucapan Tuan Guru Besar SKSM, En. Ismail b. Ibrahim selaku penasihat PIBG dan kemudiannya ucapan perasmian oleh YABrs. Timbalan Pengarah (Teknikal), Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan, Ir. Che Hassin b. Che Mud. Kemudian majlis diteruskan dengan penganugerahan hadiah kecemerlangan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam UPSR 2009 diikuti penyampaian cenderahati.

Seterusnya majlis disambung dengan Mesyuarat Agung PIBG SK Sri Melor Kali Ke-34. YDP PIBG telah menyampaikan ucapan ringkas diikuti dengan pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung yang lalu, Penyata Tahunan serta Penyata Kewangan.

Berikutnya YDP membubarkan AJK PIBG 2009 seterusnya melantik Pengerusi Sementara untuk mengendalikan pemilih AJK PIBG 2010. Setelah pemilihan dibuat, AJK yang baru dipilih mengambil tempat di hadapan untuk sesi membentang dan membahaskan usul. Akhir sekali, selepas agenda hal-hal lain, ucapan penangguhantelah dibuat oleh YDP. Majlis ditangguhkan pada jam 06:00 petang.



Saya dengan ini memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada semua kakitangan SKSM yang terlibat dengan mesyuarat ini atas kelancaran perjalanan mesyuarat. Sebelum mesyuarat lagi AJK pelaksanaan bertungkus lumus menyediakan perkara-perkara yang diperlukan semasa mesyuarat. Buku program mesyuarat misalnya, telah disiapkan dengan baik oleh Tn. Hj. Nik Azhar bersama saya. Begitu juga pentas dan dewan telah disiapkan oleh Tn. Hj. Masrof bersama AJKnya dan juga perhiasan pentas telah disempurnakan oleh Ustazah Zaziah dan AJKnya.

Mesyuarat pada kali ini dirasmikan oleh YABrs. Ir. Che Hassin b. Che Mud, Timbalan Pengarah (Teknikal) Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan mewakili En. Makhtar b. Mustapha, Pengarah JPP Kelantan.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir pada mesyuarat kali ini. Lebih 350 orang dianggarkan hadir pada mesyuarat tersebut. Buku program yang dicetak sebanyak 300 naskah telah habis diagih kepada ibu bapa. Kepada ibu bapa yang tidak berkesempatan memegang buku program, saya memohon ampun dan maaf kerana tidak mencetaknya dengan lebih banyak bagi menjimatkan kos. Lagipun saya tidak menjangkakan kehadiran ibu bapa yang begitu ramai. Kalau tahun lepas, buku program banyak berlebihan dan berlaku lambakan.

Pada mesyuarat kali ini juga, Hadiah Kecemerlangan UPSR diberikan kepada murid yang mencapai 5A dan 4A dalam UPSR 2009.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan