(351) Hari Kebangsaan


Besok sekolah bercuti lagi. Besok merupakan Hari Kebangsaan iaitu tarikh kemerdekaan yang ke-52 bagi negara kita, Malaysia. 52 tahun yang lalu, iaitu pada 31 Ogos 1957, Allahyaraham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah melaungkan perkataan, Merdeka! Merdeka! Merdeka! di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Itulah permulaannya sambutan hari kemerdekaan Malaysia.

Hari Kebangsaan negara ini disambut di seluruh negara Malaysia setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas dari belenggu penjajah British sejak 1957. Hari Kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna warni, konsert, pertunjukan pentas, pertandingan dan pelbagai lagi pertunjukan yang diadakan di tempat-tempat yang ditetapkan setiap tahun.

Kemeriahan Hari Kebangsaan dapat dirasakan bermula menjelangnya pukul 12:00 tengah malam di mana bunga api yang berwarna-warni bergemerlapan di udara. Begitu juga acara perbarisan yang diwakili oleh pelbagai agensi turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana hari tersebut. Walau bagaimanapun, sambutan pada tahun ini mungkin diadakan secara sederhana sahaja memandangkan tarikh 31 Ogos jatuh pada bulan Ramadhan iaitu pada ketika umat Islam menjalani ibadat puasa.

Pada kebiasaannya, Hari kebangsaan disambut meriah di Kuala Lumpur terutama di Dataran Merdeka. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun yang lalu, lokasi perayaan digilirkan antara bandar-bandar di Malaysia termasuklah sambutan secara besar-besaran di Putra Jaya. Bangunan- bangunan perniagaan, rumah kediaman dan kereta-kereta akan memasang dan mengibarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, dan ini menyemarakkan lagi suasana perayaan. Hari kebangsaan merupakan hari cuti di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan