(349) Ramadhan Bulan Pesta Makan???


Di Malaysia, setiap kali menyambut Ramadan lazimnya bagaikan ada 'pesta makanan'. Mana tidak, sepanjang bulan mulia itu aneka juadah boleh didapati daripada yang manis hinggalah pedas, masam dan sebagainya sehingga kemecer (kecur) air liur untuk mencuba semua hidangan itu. Bagaimanapun, demi menjaga kesihatan walaupun puasa hanya datang sekali dalam setahun setiap individu perlu berhati-hati dengan amalan penjagaan makanan sepanjang bulan mulia ini.

Pesakit buah pinggang kronik misalnya, wajar lebih waspada dengan pengurusan diet sepanjang Ramadan kerana jika tidak dijaga, dibimbangi tahap kesihatan akan merosot sehingga boleh terjejas teruk. Amalan pengurusan penjagaan pemakanan bagi mereka bukan saja pada tahap kronik, tetapi merangkumi pesakit awal, pradialisis dan yang sedang menjalani dialisis. Antara matlamat utama amalan pemakanan bagi penghidap penyakit ini ialah memperlahankan kegagalan buah pinggang, selain mengurangkan komplikasi lain seperti penyakit kardiovaskular. Mereka juga mesti memastikan pengambilan makanan berkhasiat yang seimbang seperti mengandungi kalori, protein, karbohidrat dan lemak, di samping menjalani kehidupan berkualiti.

Selain itu, tekanan darah tinggi dan glukosa dalam aliran darah yang berlebihan (hiperglisemia) adalah penyebab kepada komplikasi buah pinggang. Justeru, pastikan tekanan darah dan gula dalam darah di kawal dengan baik bagi mengurangkan risiko komplikasi berkenaan. Rawatan awal bagi penghidap buah pinggang kronik ialah dengan mengawal tekanan darah dan gula dalam darah serta mengelakkan pengambilan sesetengah ubat.

Mereka juga perlu menjaga pemakanan dan melakukan senaman serta kerap bertemu dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. Pengambilan garam yang disarankan untuk masyarakat Malaysia ialah 6g klorida sodium atau satu sudu teh garam sehari. Sebagai panduan praktikal untuk mengurangkan garam dalam pemakanan, individu digalakkan memasak menggunakan bahan makanan segar seperti ikan dan daging berbanding makanan yang sudah diproses, dijeruk atau dalam tin. Orang ramai juga dinasihatkan supaya kurangkan pengambilan makanan segera dan gunakan bahan-bahan semula jadi seperti rempah-ratus, herba dan penyedap perencah yang tiada garam.

Walau bagaimanapun, masalah sekarang ialah, pada bulan puasa terutama pada waktu sahur, antara hidangan bagi memastikan selera terbuka ialah telur masin, ikan bilis dan ikan pekasam biasanya dijadikan sajian. Semua makanan itu mengandungi kadar sodium yang tinggi. Oleh itu elakkan mengambil makanan sebegitu dan jika hendak juga mengambil makanan masin, pastikan anda minum air suam lebih banyak. Begitu juga ketika mengambil sup kebanyakan individu cenderung menghirup sehingga mangkuk licin. Ini tidak bagus kerana biasanya garam banyak terkumpul pada bahagian bawah sup berkenaan. Jika teringin makan sup, lebih baik ambil isinya dan hirup sedikit saja, secara tidak langsung dapat meminimumkan pengambilan garam.

Bagi mengawal kandungan gula dalam darah, penghidap penyakit ini disarankan mengawal pengambilan nasi yang mengandungi karbohidrat tinggi. Untuk karbohidrat yang rendah seelok-eloknya gantikan dengan beras perang. Kuih muih atau pembuka selera bercita rasa manis yang lazimnya digemari ketika berbuka, sebaik-baiknya dikurangkan dan sebagai pengganti, bolehlah mengambil makanan bijirin, tosai, capati, roti dan mi.

Amalan pemakanan bagi individu yang menghidap diabetes adalah diet normal seimbang dan seharusnya mengandungi pelbagai jenis makanan termasuk buah-buahan. Hidangan buah-buahan elok diambil bersama dengan makanan lain selain dijadikan snek berasingan. Penghidap diabetes yang berpuasa tidak boleh sama sekali meninggalkan sahur kerana makanan diambil pada waktu itu penting untuk memberinya tenaga sepanjang sehari. Waktu berbuka pula jangan dilewatkan kerana pesakit diabetes cepat ternyahhidrat dan tenaga yang hilang perlu digantikan segera.

Umumnya tiada makanan yang baik atau tidak elok dan individu boleh makan apa saja yang disukai, tetapi biarlah berpada-pada dan paling penting, tidak menjejaskan kesihatan. Pada bulan puasa, selera hendakkan macam-macam dan semuanya nampak sedap belaka. Makanlah jika rasa teringin, tetapi cuba pilih kadar bahagian yang kecil. Lebihkan sayur-sayuran, salad dan buah-buahan. Elakkan makan bertambah dan makan apabila lapar dan bukan hanya apabila anda melihat makanan berkenaan. Untuk mengelakkan makan banyak, sediakan makanan dalam kuantiti sedikit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan