(345) Tip UPSR : Cara Betul Menjawab Matematik Kertas 2

KERTAS 2

Sebahagian besar calon menganggap Kertas 2 mudah berbanding Kertas 1. Pada dasarnya tanggapan itu benar tetapi perlu diingat ia banyak mempengaruhi kedudukan gred keseluruhan bagi subjek Matematik. Jika kurang mahir menjawab Kertas 2, besar kemungkinan calon akan melakukan kesilapan sewaktu memberikan jawapan. Ramai calon gagal mentafsir kehendak soalan terutama bagi jenis penyelesaian masalah. Malah, ada yang tidak dapat menukar masalah dikemukakan dalam soalan ke bentuk ayat matematik.

Contoh:
50 biji kek diberikan kepada Adirah dan Izzaty. Adirah mendapat 10 biji lebih daripada Izzaty. Berapakah bilangan kek yang Izzaty dapat?

Calon kerap menulis ayat matematik seperti berikut:

50 ÷ 2 - 10
=25 - 10
= 15


Jawapan yang diberikan adalah SALAH. Langkah yang betul adalah seperti berikut:

(50 - 10) ÷ 2 =
= 40/2
=20

Maka, Adirah 30 dan Izzaty 20

Jawapan: 20

Bagi soalan bentuk persamaan atau terus pula, calon gagal menguasai konsep pengiraan sebahagiannya memerlukan beberapa langkah pengiraan sebelum memperoleh jawapan.

Sejumlah 20 soalan dikemukakan dalam Kertas 2. Antara cirinya ialah bentuk subjektif, perlu menulis langkah pengiraan dengan jelas bagi mendapatkan jawapan. Pemarkahannya berdasarkan 3 aras, iaitu 1 markah (5 soalan), 2 markah (10 soalan) dan 3 markah (5 soalan).
Kesilapan sering dilakukan calon ialah kurang tumpuan dan tidak menunjukkan langkah pengiraan yang jelas. Perhatikan jawapan calon berdasarkan contoh soalan berikut:

State the digit value of 6 in the number 0.67 million.
Nyatakan nilai digit angka 6 dalam nombor 0.67 juta.

Jawapan calon:
Sixty atau 60

Jawapan diberi salah. Sebabnya calon kurang tumpuan tentang titik perpuluhan mewakili juta/million). Jawapan tepat ialah perpuluhan (decimal) melibatkan juta (million) perlu ada 7 digit dari kiri ke kanan, iaitu:

0.67 million
=0 670 000

=600 000

Kesilapan lain sering dilakukan ialah menjawab dalam pecahan (fraction)
=6/10 million

Langkah pengiraan perlu ditunjukkan dengan jelas dan tepat mengikut unit diperlukan dalam jawapan. Soalan 2 dan 3 markah agak mudah kerana penyoalannya tidak menggunakan ayat terlalu panjang. Banyak soalan dibantu rajah dan gambar. Ini memudahkan calon memahami kehendak soalan.

Bagi soalan 3 markah, hampir kesemuanya membabitkan rajah dan jadual. Untuk soalan ini, pastikan pengiraan atau maklumat awal digunakan dalam pengiraan tidak salah nilai. Kesilapan ini menyebabkan pengiraan seterusnya menjadi salah. Secara keseluruhan, calon perlu memberi tumpuan terhadap soalan yang menggunakan ayat dan rajah.

Kesilapan kerap berlaku dikaitkan dengan kegagalan calon memahami maksud ayat terakhir atau memberikan jawapan selepas langkah pengiraan dilakukan, sedangkan jawapan sebenar setelah langkah kedua atau ketiga.

Oleh;
Roslan Rasip dan Ismail Mokhtar
Berita Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan