(328) Pergi Tak Kembali


Tiga jam dari sekarang, genaplah seminggu pemergian vokalis utama kumpulan nasyid terkenal Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim. Beliau yang berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi Khamis, 13 Ogos yang lalu akibat serangan jantung

Allahyarham meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa berucap dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, RTM kira-kira setengah jam sebelum itu. Beliau yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor meninggalkan seorang balu, Halizah Shahzan, 39.

Pemergian Ustaz Asri meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada diri saya sendiri. Saya mengikuti perkembangan seni beliau sewaktu beliau masih menganggotai kumpulan Nada Murni lagi di mana pada ketika itu, lagu-lagu seperti Jasa Petani, Buta Mata, Huru-Hara dan beberapa lagu lain yang disegarkan kembali oleh kumpulan Rabbani dan Hijjaz seperti Bismillah, Munajat, Assalamualaikum, dsb.

Sebenarnya kumpulan Nadamurni merupakan antara kumpulan nasyid yang paling popular ketika itu. Albumnya terjual di mana-mana (mungkin juga disebabkan ahli Al-Arqam yang bertebaran seluruh Malaysia) termasuklah di negara-negara jiran. Selain album yang memuatkan lagu-lagu nasyid, mereka turut mengetengahkan alunan selawat serta nasyid Sifat 20 yang kemudiannya menjadi senandung ikutan oleh segenap lapisan masyarakat dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa.

Begitulah hebatnya vokal Ustaz Asri di samping seorang lagi vokalis Nada Murni iaitu Munif (Hijjaz). Suaranya lantang dengan sebutan kearaban sungguh meresap dan masih terngiang-ngiang beliau mendendangkan lagu-lagu ketuhanan dengan iringan muzik perkusi tradisional sehinggalah berkembang kepada muzik moden seperti Pergi Tak Kembali dan Intifadha.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (1969-2009). Telah tertulis kematian pada suratan kehidupan. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para salihin. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kumpulan Nadamurni, lawati Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Kumpulan_Nada_Murni.

Foto oleh;
Hafiz Shah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan