(313) Kisah Sedih H1N1

Salam.

Saya rasa amat gembira dan lega di hati selepas mengetahui yang anak Kak Elly telah sihat seperti biasa. Sebenarnya saya sendiri mengalami pengalaman dan ujian getir dari Tuhan. Saya dikurniakan 2 cahaya mata, Fajwah (24 Jan 2006) dan Fitrah (01 Jan 2008).

Pada 18 Jun 2009 yang lalu, Fajwah demam teruk. Saya bawa dia ke klinik. Dia ada sedikit asma dan perlukan sedutan nebulizer. Saya sepatutnya ke KL pada 19-23 Jun kerana ada kursus tetapi saya tak pergi atas alasan anak demam. Pada 20 Jun sebelah petang, Fajwah kembali sihat. Seronok hati tidak terkira.

Ahad 21 Jun, kedua-dua anak saya bermain seperti biasa. Saya bercadang untuk KL berkursus memandangkan anak sudah sihat. Isnin 22 Jun, jam 11 pagi saya bertolak dari Penang dan sampai di KL jam 2.30 petang. Saya terus ke hotel. Jam 9 malam, isteri sms menyatakan anak kedua (Fitrah) panas badan. Dalam pukul 10 malam, suhu badannya makin naik. Jadi saya ambil keputusan untuk segera pulang ke Penang. Jam 12 tengah malam saya bertolak ke Penang.

Sesampai di rumah jam 5 pagi itu, saya berehat sekejap. Jam 8.30 pagi saya bawa Fitrah ke klinik swasta dan ambil ubat. Petang Selasa, 23 Jun demam sekejap ada sekejap hilang. Selepas Maghrib nampak badannya lemah. Sekali lagi saya bawa ke hospital dan berada dalam wad kecemasan sampai jam 12 tengah malam tetapi kemudiannya dibenarkan balik. Rabu, 24 Jun demamnya masih lagi turun naik. Malamnya selepas Maghrib saya sekali lagi saya bawa ke Hospital dan dia ditahan dalam wad kecemasan.

Jam 1 pagi Khamis, 25 Jun anak saya dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya. Jam 10 pagi, saya tengok anak saya makin tenat dan saya minta dipindahkan ke hospital pakar (swasta) tapi doktor tak benarkan. Doktor jelaskan yang anak saya pada mulanya kekurangan air kerana demam menyebabkan buah pinggangnya kering. Setelah ditambah air, doktor kata ada air dalam paru paru menyebabkannya lemah.

Jam 5 petang, Fitrah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang kerana hanya di sana ada mesin merawat paru paru. Jam 5.40, anak saya masih belum boleh dirawat kerana jantungnya amat lemah. Jam 6.30, doktor beritahu saya harapannya adalah 50-50. Jam 7.15 malam, doktor berpesan agar kuatkan semangat untuk terima sebarang kemungkinan. Pada masa itu hanya saya berdua dengan isteri.

Jam 7.45 kemudian, ketika orang ramai baru selesai solat Magrib di surau berdekatan, doktor sekali lagi memanggil saya dan memberitahu bahawa anak saya telah pergi kepada Penciptanya. Pada masa itu, perasaan berkecamuk bermain di fikiran saya. Ayat dan perkataan apakah yang sewajarnya saya ungkapkan untuk memberitahu perkara ni kepada isteri saya nanti memandangkan yang dia pada masa itu mengandung 22 minggu. Jumaat, 26 Jun Nur Raihana Fitrah (01 Jan. 2008 - 25 Jun 2009) telah selamat dikebumikan. Al-Fatihah........


Disunting dari email
Ilham Fuad Ar Rahman
di eGroup SIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan