(304) Program Rehat Minda (i)

AlhamdulilLah, setinggi-tinggi penghargaan kita panjatkan buat Allah Rabbul Jalil kerana dengan izin-Nya serta dengan Kehendak dan Kekuasaan-Nya maka apa yang telah kita rancang telah terlaksana dengan jayanya. Program Rehat Minda di Hutan Lipur Lata Belatan, Jertih, Terengganu anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling ini diadakan khusus untuk para pelajar Tahun 6 yang akan menduduki UPSR dalam masa sebulan sahaja lagi.

Program ini dirancang untuk memberi kerehatan minda kepada calon-calon UPSR yang telah bertungkus-lumus selama 8 bulan dalam pelajaran di samping menanam semangat kerjasama dalam kalangan mereka yang datangnya dari pelbagai kebolehan dan latar belakang ekonomi selain dapat mengeratkan lagi hubungan antara guru-guru dan anak-anak didik mereka.

Para peserta tiba di perkarangan Dataran Bendera SKSM seawal jam 7 pagi. Taklimat ringkas diberi untuk mengingatkan para peserta agar mementingkan keselamatan diri serta mematuhi arahan dan larangan guru-guru bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Dibimbangi suka bertukar menjadi duka. Alhamdulillah, para peserta menunjukkan sikap yang boleh diberikan pujian, mendengar dengan teliti walaupun masing-masing kelihatan tidak sabar-sabar untuk tiba di destinasi.

Apabila bas sampai, bukan sahaja murid, malah guru juga tampak begitu girang sekali. Sebanyak 5 buah bas disediakan untuk 140 peserta dan beberapa guru pengiring. Setibanya di lokasi kira-kira 1 jam kemudian, para peserta sekali lagi dikumpul dan diberikan pesanan-pesanan penting. Antara aktiviti pengisian yang disediakan ialah 'Muhasabah Diri', 'Pesta Air' dan 'Mencari Harta Qarun'. Sudahlah dapat bermain air dengan penuh suka ria dan bergumbira, makanan yang disediakan pula lazat-lazat belaka. Maklumlah, perut tengah lapar dan badan kepenatan akibat terlalu seronok bermain air.

Kelihatan Cgu Wan tak sabar-sabar nak naik bas, meninggalkan jauh kawan-kawannya yang lain. Ini mesti berebut nak duduk seat depan tepi tingkap nii... Tengoklah cara dia berjalan sambil tertoleh-toleh ke belakang. Tak dapat dinafikan lagi.

Sewaktu pulang, terdapat bas yang lewat datang menjemput. Biasalah, perkara sebegini sering terjadi setiap kali menganjurkan lawatan dan ia turut dialami oleh sekolah-sekolah lain juga. Namun sedikit 'kecacatan' itu tidaklah sampai merosakkan program. Semua peserta selamat tiba di sekolah walaupun 2 buah bas agak terlewat dari yang lain. Keseronokan masih terpancar pada riak muka para peserta hingga ke hari ini, terutama sekali Cgu Hj Mokhjamil selaku peneraju utama. Beliau bercadang untuk ke sana lagi bagi mengisi program selepas UPSR nanti, insyaAllah. Kepada semua yang menjayakan program ini, sekalung tahniah diucapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan