(286) Ribut di Melor: 100 Rumah Rosak


KOTA BHARU 29 Julai - Hampir 100 buah rumah, melibatkan lebih 200 keluarga di empat kampung di Melor, musnah akibat dipukul ribut petang semalam. Kejadian berlaku kira-kira pukul 05:40pm mengakibatkan sebahagian besar bumbung dan siling rumah diterbangkan angin. Kampung yang terlibat ialah Kampung Lanchang, Kampung Buloh Poh, Kampung Padang Tok Mat dan Kampung Durian Pahit. Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan meskipun ketika kejadian tersebut kebanyakan penghuni berada dalam rumah masing-masing.

Seorang mangsa, Ranani Ismail, 47 berkata, "Saya baru selesai menunaikan solat asar. Suami berada di ruang dapur manakala tiga anak dalam bilik. Secara tiba-tiba angin kencang melanda, saya dengar ranting kayu jatuh di atas bumbung dan nampak pokok kelapa bergoyang dipukul ribut. Saya yang bimbang keadaan itu menjerit agar semua ahli keluarga lari keluar rumah menyelamatkan diri. Selang beberapa ketika, sebatang pokok durian di belakang rumahnya tumbang. Hujan lebat kemudian menyebabkan semua perabot dan peralatan rumahnya basah dan rosak."

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad melawat tempat kejadian dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk terlibat. Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mentaksir jumlah kerugian dan akan menyalurkan bantuan mengikut kerosakan dialami''.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan