(251) Lelaki Paling Kerdil


Dengan ketinggian kira-kira 61 sentimeter, Khagendra Thapa Magar hanya perlu menunggu empat bulan lagi untuk diisytiharkan sebagai lelaki paling kerdil di dunia. Tidak sabar-sabar menanti hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18 Oktober depan, Khagendra dan keluarganya sudah menjalin hubungan dengan Guinness untuk mengambil alih secara rasmi gelaran itu daripada He Ping Ping dari China yang setinggi 74 sentimeter.

Bagaimanapun, Khagendra yang seberat 4.54 kilogram seolah-olah sudah menjadi selebriti di negara kelahirannya, Nepal. Tokoh politik turut ghairah untuk melihat Khagendra diiktiraf sebagai lelaki paling kerdil di dunia. Penduduk kampungnya pula menggelarnya ‘Buddha kecil’. Dia dilahirkan 17 tahun lalu di daerah Baglung, 200 kilometer dari Kathmandu, ibu negara Nepal.


Sejak kecil lagi keluarganya dapat berasakan dia akan menjadi terkenal dan berjaya dalam hidup walaupun kerdil. Ketika dilahirkan, beratnya hanya 600 gram. Ia seperti melihat anak ayam yang keluar dari telur yang baru menetas. Pada mulanya ibunya malu dan tidak mahu dia keluar rumah tetapi kini tidak lagi. Walaupun punca kekerdilannya tidak pernah disahkan secara perubatan, namun doktor di Nepal yang memeriksa Khagendra percaya ia disebabkan oleh kelenjar pituitari yang tidak berfungsi. Jika tidak kerana masalah itu, dia dianggap sihat.

Sementara itu, keluarganya mewujudkan Yayasan Khagendra Thapa Magar untuk mempromosi usahanya bagi diisytiharkan lelaki paling kerdil di dunia. Kini dia sudah terkenal di seluruh Nepal dan India. Dia menyertai kumpulan tarian dan menjelajah ke beberapa tempat supaya orang boleh melihatnya. Dia melakukannya beberapa kali setahun dan kini kami berharap dia akan disahkan sebagai lelaki paling kerdil. Menurut ibu bapanya, Khagendra berhenti membesar tahun lalu dan mereka menjangka ketinggiannya akan kekal seperti sekarang. Walaupun begitu, keluarganya tetap berbangga dengannya.

Jika dia mengambil alih gelaran itu, Khagendra akan menggantikan tempat Ping Ping yang kini berusia 20 tahun dan menetap di wilayah Guade, China.
Khagendra memohon kepada Guinness pada 2006 ketika dia berusia 14 tahun, tetapi permohonannya ditolak kerana masih di bawah umur. Khagendra yang menghadapi masalah untuk bersandar, baru-baru ini memasuki tadika di kampungnya untuk belajar menulis dan membaca. Dia tinggal di sekolah dan belajar lima hari seminggu. Pada hujung minggu, dia pulang ke kedai buah-buahan ayahnya di Pokhara dan membantu mereka berniaga.

Mengenai kegemarannya, Khagendra berkata, dia minat menonton rancangan karate di televisyen ketika di rumah dan menanam impian untuk menjadi penari paling terkenal di dunia sedikit masa lagi.
Sejak mula mendapat tumpuan hampir empat tahun lalu, dia terbabit dengan pelbagai publisiti yang bertujuan mendapat pengiktirafan rasmi daripada Guinness. Walaupun perkembangan mentalnya tidak sama dengan rakan seusianya, Khagendra masih mempunyai perasaan terhadap gadis cantik. “Satu daripada perkara yang paling menyeronokkan ketika mengikuti kumpulan tarian ialah saya boleh melihat gadis di Kathmandu. Mereka sungguh cantik dan pakaian mereka juga jauh berbeza dengan pakain gadis di kampung saya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan