(242) Jangan 'Wajibkan’ Sujud Sejadah

Kebiasaannya ketika melaksanakan solat subuh berjemaah pada pagi Jumaat, imam membaca surah al-Sajdah (surah 32) pada rakaat pertama dan surah al-Insan (surah 76) pada rakaat kedua. Alhamdulillah, amalan ini adalah berdasarkan sunah Rasulullah s.a.w. yang diterangkan oleh Abu Hurairah r.a. :

"Nabi s.a.w. biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr."
(Riwayat Imam al-Bukhari)

Hukum membaca surah al-Sajdah adalah sunat. Berdasarkan hadis di atas, sunat hukumnya membaca surah al-Sajdah dalam rakaat pertama solat subuh hari Jumaat. Saya yakin para pembaca mengetahui berkenaan hukum sunat ini akan tetapi dalam pengalaman saya dan rakan-rakan, adakalanya ditemui;

1) Para makmum yang menangguhkan iqamat solat Subuh pada pagi Jumaat kerana imam yang hafal surah al-Sajdah belum datang. Jika tiada yang hafal, makmum saling menolak antara satu sama lain untuk menjadi imam. Masing-masing enggan dengan alasan: “Saya tak hafal surah al-Sajdah.”

2) Pernah beberapa kali imam yang sedang membaca surah al-Sajdah tersangkut di tengah-tengah atau penghujung dan tidak ada makmum yang boleh membetulkannya (termasuk diri saya). Maka imam mungkin akan mengulangi semula surah al-Sajdah dari awal.

3) Bagi masjid-masjid yang mempunyai imam yang dilantik secara rasmi, saya dikhabarkan antara soalan yang ditanya ketika temuduga sebelum pelantikan adakah hafal atau tidak surah al-Sajdah. Ia menjadi syarat lulus temuduga.

Ketiga-tiga pengalaman itu memberi isyarat bahawa di sebalik kebiasaan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat, ada sebahagian seakan-akan menganggaphukumnya wajib. Atas tanggapan wajib inilah mereka enggan menjadi imam atau salah satu syarat imam untuk mengulang-ulang keseluruhan surah jika tersangkut.

Padahal yang benar hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Oleh itu jika tidak ada yang menghafal surah al-Sajdah, seseorang boleh menjadi imam dengan membaca surah lain. Jika tersangkut ketika membaca surah al-Sajdah dan makmum tiada yang dapat membetulkannya, imam boleh terus rukuk atau beralih membaca surah lain. Walau bagaimanapun, menghafal surah al-Sajdah sememangnya menjadi satu kelebihan.

Seperkara lagi, amalan membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat akan menyebabkan jemaah menganggap ia adalah wajib. Faktor ini antara sebab mengapa para tokoh Mazhab Maliki berpendapat makruh membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat kerana bimbang orang ramai akan menganggapnya wajib.

Tentang hal ini, Imam Ibn Daqiq al-‘Id mengulas :

“Akan tetapi jika melakukan hal tersebut (membaca surah al-Sajdah) menyebabkan timbulnya kerosakan (menganggapnya wajib), maka eloklah ia ditinggalkan sekali-sekala kerana sesuatu yang disukai adakalanya ditinggalkan juga bagi menghindari kerosakan yang mungkin berlaku. Dan ini dicapai dengan meninggalkan pada sebahagian waktu.”
Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari
(Tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin Baz;
Dar al-Fikr, Beirut, 2000),
Jld. 3, ms. 35.

Nampaknya apa yang dibimbangi oleh para tokoh Mazhab Maliki telah berlaku. Maka saranan Imam Ibn Daqiq al-‘Id perlu kita ikuti, iaitu dianjurkan sekali-sekala agar imam membaca surah selain al-Sajdah pada solat Subuh pagi Jumaat.

Selain itu, imam juga hendaklah memerhatikan keadaan makmum. Dalam mengamalkan sunah ini, hendaklah kita mengamalkan keseluruhan sunah tersebut, bukan sebahagian sahaja. Membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat adalah sunah, namun memerhatikan keadaan makmum adalah sunah juga.

Dalam Sahih Muslim, Kitab al-Solat, Bab menyuruh imam meringankan bacaan solat, hadis no: 468, Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Imamilah kaum kamu, sesiapa yang mengimami satu kaum maka hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan kerana sesungguhnya di kalangan mereka ada orang tua, kerana sesungguhnya di kalangan mereka ada orang sakit, kerana sesungguhnya di kalangan mereka ada orang lemah dan kerana sesungguhnya di kalangan mereka ada orang yang berurusan. Apabila salah seorang dari kalian solat bersendirian, maka solatlah sekehendak dirinya."

Pada pagi Jumaat, imam perlu memerhatikan dua sunah. Sunah yang pertama adalah membaca surah al-Sajdah manakala sunah yang kedua adalah memerhatikan waktu iqamat dilaungkan. Ini kerana di kalangan makmum ada yang memiliki urusan di awal pagi. Malah, jika di luar Kelantan, Kedah dan Terengganu, hari Jumaat merupakan hari bekerja.

Sama-sama diketahui sini bahawa waktu masuknya Subuh adakalanya awal dan adakalanya lewat. Khususnya pada bulan Januari dan Februari, waktu Subuh masuk pada pukul 6.10 pagi dan iqamat lazimnya dilaungkan pada pukul 6.20 pagi. Kebanyakan warga kota keluar rumah pada pukul 6.30 pagi untuk mengharungi kesesakan jalan raya ke pejabat. Maka menjadi kebiasaan pada pagi Jumaat di sana, sebahagian jemaah tidak menghadiri solat Subuh berjemaah kerana kesuntukan waktu. Sebahagian lagi ada yang hadir siap dengan pakaian pejabat, bergegas keluar sejurus imam memberi salam yang kedua. Oleh itu sebelum memulakan solat, imam hendaklah memerhatikan waktunya. Jika masih awal, maka adalah sunah untuk membaca surah al-Sajdah. Jika waktu sudah lewat, maka menjadi sunah untuk membaca surah lain yang pendek.

Dalam hal ini mungkin ada yang berpendapat, imam sepatutnya tetap membaca surah al-Sajdah. Terpulang kepada makmum sama ada untuk menghadirinya atau tidak, atau mengubah suai masa sendiri ke pejabat. Pendapat ini tidak tepat kerana sebagaimana hadis yang dikemukakan di atas, merupakan kewajipan imam untuk memerhatikan keadaan makmum dan bukan sebaliknya. Jika imam menyusahkan makmum, maka kesalahan berada pada bahu imam dan bukannya makmum.

Abu Mas’ud al-Anshari r.a. berkata, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjemaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas’ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi nasihat berbanding
pada saat itu. Lalu baginda bersabda:

"Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjemaah. Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan bacaan kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah dan berurusan."
(Shahih al-Bukhari,
Kitab al-‘Ilm, hadis no: 90)

Seterusnya, sujud tilawah hukumnya sunat. Saya pernah menjadi makmum ketika imam membaca surah al-Sajdah pada pagi Jumaat. Imam yang sedang membaca surah al-Sajdah terlanjur melepasi ayat ke-15 yang sepatutnya beliau dan makmum turun sujud. Maka beliau mengulangi dari awal surah al-Sajdah agar dapat sujud ketika sampai pada ayat yang disunatkan untuk sujud. Perbuatannya itu memberi gambaran seolah-olah melakukan sujud tilawah hukumnya adalah wajib sedangkan hukumnya adalah sunat. Sekian, wallaahu a'lam.


Oleh;
Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan