(99) Sains Itu Menarik

Menarik, teruja, menyeronokkan dan mengasyikkan! Begitulah seharusnya bidang sains dilihat oleh semua peringkat usia, tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa. Di Barat, guru-guru mata pelajaran sains terlibat secara langsung menerusi projek-projek sains yang dilaksanakan oleh pelajar mereka, malah para pelajar turut didedahkan dengan pembelajaran sains yang melibatkan eksperimen, penerokaan, mencabar minda dan relevan dengan situasi semasa. Di pihak ibu bapa pula, mereka sentiasa memberi galakan serta ramai juga yang sanggup membelikan apa sahaja set permainan berunsur sains demi memupuk minat anak-anak pada peringkat awal usia.

Menjadikan bidang sains itu satu bidang yang menarik dan menanamkan benih kesukaan atau minat sejak dari usia kecil, sama ada di rumah mahupun di sekolah, pada hakikatnya amat perlu, lebih-lebih lagi diketahui bahawa ilmu sains itu sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia dan kehidupan beragama. Malah, lebih tepat dikatakan ilmu sains dan ilmu agama tidak boleh dipisahkan. Ini kerana, sifat semula jadi makhluk yang bernama manusia sentiasa ingin mengetahui pelbagai perkara yang berlaku dalam kehidupan ini seperti kejadian siang dan malam, bagaimana ikan boleh bernafas dalam air, mengapa haiwan tidak boleh bertutur seperti manusia, apakah perbezaan antara lelaki dan perempuan, dari mana datangnya bayi dan banyak lagi.

Sayangnya apa yang berlaku di negara ini, pendidikan sains dilihat sebagai satu bidang atau subjek yang membosankan. Padahal pada hakikatnya, sains adalah satu subjek yang menarik dan tidak membosankan kerana lumrah atau sifat semula jadi manusia itu yang suka ingin tahu dan sains ada jawapannya. Malah sifat semula jadi sains iaitu di mana idea-idea sains itu adalah tentatif, boleh dicabar secara emperikal, menggalakkan diskusi, kritikal dan berfikiran kreatif, penyelidikan, dsb. Apatah lagi, kita sedang melalui era kegemilangan zaman sains dan teknologi yang semakin menguasai dunia. Dua bidang ini mempunyai jalinan erat di antara satu sama lain. Contohnya, gajet berteknologi tinggi adalah menarik diketahui dan dikuasai dan ia ada pengaruh sains yang kuat. Tetapi realiti yang berlaku di sekolah-sekolah seperti silibus terlalu padat dan sukar, masa yang terhad, makmal kurang pengendalian, peralatan usang, tidak mencukupi, pelajar ramai, kesibukan guru, pengajaran secara chalk & talk, amali dibuat mengikut 'buku resipi' dan kebiasaannya tersedia jawapan, telah menjadikan subjek sains itu tidak menarik atau penyebab mengapa sains itu dikategorikan subjek yang membosankan. Pertama, cara atau kaedah pengajaran sains itu sendiri, ia tidak sejajar dengan sifat semula jadi manusia dan sains itu sendiri. Kedua, pembelajaran secara penerangan masih menjadi kaedah popular digunakan. Ketiga, kurikulum yang sudah ketinggalan zaman dan keempat, bidang ilmu fizik seharusnya banyak menerapkan pendekatan yang berbentuk pencarian dan idea-idea, memandangkan ia subjek yang berat.

Selain itu, penggunaan tugasan di makmal juga terbatas menyebabkan pembelajaran menjadi suram dan tidak menarik. Kita juga terlalu menitikberatkan pencapaian yang bermatlamat kepada peperiksaan semata-mata atau sekadar menyediakan nota sedia ada, supaya mengikut silibus dan terakhir, terlalu banyak aktiviti latih tubi menyebabkan pelajaran sains bosan. Memang diakui kebenaran kenyataan bahawa kurikulum dan aktiviti pembelajaran sains memang tidak menarik dan membosankan atas alasan para pelajar tidak terdedah kepada format baru, kebanyakan pelajar gagal kertas 2 sains kerana tidak dapat menjawab mengikut teknik yang betul memandangkan ia berbentuk subjektif, kekerapan guru menghadiri kursus-kursus yang diadakan semasa waktu persekolahan menyebabkan sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan lebih awal serta pertukaran guru-guru disebabkan perpindahan. Pokok persoalan kepada kegagalan pelajar ialah kembali kerana tidak berlakunya pembelajaran.

Di China, para pelajar seawal gred satu dalam kelas sains telah diberikan tugasan menerusi komputer. Kemudian guru akan membuka sebarang persoalan sekiranya mereka kurang faham dan tidak akan memberikan jawapan. Kemudian pelajar akan membuat pemerhatian di luar bilik darjah menggunakan objek sebenar kajian mereka memandangkan pembelajaran sains seharusnya melibatkan eksperimen, penerokaan, penemuan, dicabar, menguji minda atau berfikir dan mengambil risiko. Lantaran itu, kaedah belajar sains yang merangsangkan mestilah, pembelajaran aktif melalui hand-on aktiviti iaitu learning by doing (LBD). LBD mengalakan para pelajar untuk meneroka, bertanya, bereksperimen, pemerhatian, penelitian, pengalaman dan membina pemahaman terhadap konsep sains yang kompleks. Prinsip asas LBD ialah pelajar akan lebih baik pencapaian sekiranya dia belajar menggunakan penglihatan, pendengaran, sentuhan, deria bau, rasa dan interaksinya dengan persekitaran. Sains adalah proses yang bermaksud mencari teori, undang-undang dan prinsip-prinsip yang ada kaitan dengan realiti, jadi diharap mereka yang terlibat secara langsung dengan pengajaran sains agar lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu, sekali gus dapat mengubah persepsi negatif semua pihak terhadap sains.

Oleh:
Zuarida Mohyin
(Utusan Online)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan