(90) 16/04/2009 Program Bina Insan

Selaras dengan Teras ke-2 PIPP iaitu 'Membangunkan Modal Insan', pihak SKSM pada hari ini, Khamis 16 April menganjurkan Program Bina Insan dan Pembangunan Sahsiah Pelajar bermula dari jam 08:00am hingga 04:30pm dengan dipengerusikan oleh Cgu Ainuddin.

Pada sebelah pagi, sebaik sahaja doa selesai dibacakan oleh Ust Kamaruzaman (lebih dikenali sebagai 'Ust Man Lipat' sewaktu menuntut di Mesir dulu), para guru dan pelajar-pelajar Tahun 6 dilibatkan dengan 2 ceramah. Yang pertama, ceramah bertajuk "Pembangunan Insan Cemerlang" disampaikan oleh Tn. Hj. Ahmad b. Che Kob, Pegawai Khas Agama di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Banyak ilmu yang dapat ditimba, di antaranya menghindari pemikiran-pemikiran negatif, perkataan-perkataan negatif, perkara-perkara yang perlu diamalkan, sentiasa berdoa, dsb.

Kemudian, pada jam 11:00 pagi, ceramah "Tips Kejayaan Pelajar" disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Besar dengan berbantukan tayangan LCD yang turut memuatkan kata-kata hikmat untuk dihayati dan diamalkan oleh para pelajar. Kelihatan para pelajar khusyuk mendengar serta mencatat isi-isi penting semasa kedua-dua ceramah tersebut disampaikan.

Pada sebelah petang pula, para guru dan ibu bapa pelajar-pelajar Tahun 5 mengikuti penerangan kurikulum oleh Penolong Kanan 1, Tn. Hj. Zakaria diikuti penerangan tentang progres pihak sekolah dalam menghadapi UPSR tahun hadapan (2010) yang seboleh-bolehnya dijalankan seawal mungkin. Pada akhir sesi, pihak sekolah menyerahkan kepada budi bicara para ibu bapa sama ada bersetuju atau tidak untuk mengadakan kelas malam bagi pelajar Tahun 5 bermula bulan Mei nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan