(28) 09/03/09 Metro : Guru Usah Matikan Minat Murid

TANGGAPAN sukar untuk mendapat keputusan cemerlang A dalam mata pelajaran Sains di sekolah terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (USPR) boleh ditangkis dan dielakkan. Ini kerana semua perkara yang sukar boleh menjadi mudah dengan usaha dan komitmen pelbagai pihak termasuk guru, ibu bapa serta murid. Walaupun subjek itu dianggap sukar kerana dipelajari dalam bahasa Inggeris, ia boleh difahami murid secara beransur-ansur. Murid boleh menerima apa yang dipelajari serta memajukan diri bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Guru-guru perlu memainkan peranan penting dalam menanam minat murid terhadap pelajaran sains ini. Guru-guru sebenarnya ada 'senjata' tersendiri untuk melancarkan kempen supaya murid menjiwai pelajaran sains ini. Guru-guru boleh menerangkan konsep dalam dua bahasa asalkan murid memahaminya. Pendekatan dan kaedah menarik seperti uji kaji, hipotesis dan inkuiri penemuan perlu dilaksanakan dengan berkesan.

Mengajar Sains dalam dua bahasa bukan masalah utama yang memberikan tekanan kepada guru. Selain itu, ketika memasuki transformasi era pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), guru wajar menerima ledakan itu untuk terbuka minda mendidik murid misalnya dengan menerapkan elemen psikologi dalam usaha memupuk minat murid di samping mencintai pelajaran sains ini secara beransur-ansur. Pada peringkat awal, kejayaan dalam ujian bukanlah sandaran utama tetapi pemahaman konsep asas sains adalah tumpuan berharga. Adalah salah jika guru melayani dan mematikan minat murid terhadap pelajaran ini ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran setiap hari. Sememangnya guru mempunyai tanggungjawab besar mendorong murid mempunyai semangat membara dalam mempelajari subjek ini dengan usaha supaya tidak mengalami keciciran. Bimbinglah murid melakukan latih tubi menjawab soalan ujian dan latihan supaya mereka lebih jelas dalam semua perkara. Dengan kaedah itu, murid juga berpeluang membincangkan topik sukar bersama dalam kelas. Tentunya tidak ada apa yang lebih menggembirakan hati guru melainkan melihat murid mendapat keputusan cemerlang dalam ujian.

1 ulasan:

  1. Tanpa Nama18/3/09 9:37 PG

    Tanpa disedari ramai, B.Melayu rupa2nya bahasa yg kukuh entitinya di dunia. Buktinya rekod dari UNESCO, kini 300 juta lebih penutur bahasa Melayu di dunia, cuma yg berbeza dari segi dialek. Ia menobatkan sbg bahasa pertuturan ke-4 terbanyak dunia. Dari sudut lain pula, ada 129 buah IPT dari 40 buah negara dunia menawarkan kursus Pengajian B.Melayu. Maknanya bahasa ini bukanlah bak melukut tepi gantang, boleh dijadikan medium global. Isunya kes PPSMI, negara lebih teruja kpd B.Inggeris untuk didewakan, seolah2 bahasa ibunda amat jumud & tidak boleh diadaptasi. Pakat renungi, jgn jadi jogho menentang arus...

    BalasPadam