(22) 06/03/09 Kem Kepimpinan & Jati Diri

Cikgu Ainuddin (Setiausaha Program) sedang
menyampaikan taklimat kepada para peserta

Alhamdulillah, dengan Keizinan, Kekuasaan dan Kehendak Allah Yang Maha Esa, maka Kem Kepimpinan yang dirancang selama ini telah selamat dilaksanakan dengan jayanya. Program selama 3 hari yang bermula diadakan pada 5 - 7 Mac di Kem Kok Keli, Tumpat tersebut diadakan khusus buat para pemimpin cilik di sekolah iaitu para Pengawas serta barisan pimpinan Pengawas PSS dan unit-unit kokurikulum (unit beruniform, kelab, persatuan, dsb.).

Sememangnya dalam pencarian model pemimpin yang baik, 4 elemen iaitu intelek, ruhani, jasmani dan emosi perlu diperkukuh dan dimampankan yang mana keempat-empat elemen tersebut saling lengkap-melengkapi dalam membentuk karakter dan jati diri pemimpin yang unggul. Pastinya ilmu, iman, berhemah tinggi dan berhikmah menjadi transformer penganjak yang mesti diaktifkan untuk ianya terus mengaliri urat nadi kepemimpinan masa kini dan generasi harapan pimpinan masa depan. Sesungguhnya generasi hari inilah penentu kemandirian generasi hari esok. Merekalah rijal dan merekalah nisa’ penentu serta pembina hala tuju masa depan agama, bangsa dan negara agar lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tahniah dari pihak sekolah buat semua guru dan staf sokongan yang sudi berpenat lelah menjayakannya. Setiausaha program, Cikgu Ainuddin dan orang-orang kuat yang lain seperti Cikgu Najib, Cikgu Zulkifli Junoh, Cikgu Hj. Mokhjamil dsb. (sekadar menyebut beberapa nama) tentunya dapat tidur lena setelah sekian lama memerah keringat dan idea sebelum ini. InsyaAllah, usaha dan kerjasama kita semua akan dinilai dan diberi ganjaran oleh-Nya, insyaAllah.

*****

Program ini juga turut dijadikan sebagai medan 'reunion' apabila ramai guru yang pernah mengajar di SKSM dapat datang bertandang dan berbual-bual bersama. Mereka ialah Cgu Mohd. Asri b. Mohamed (PK1, SK Chiku 3, Gua Musang), Sir Suaimi b. Yusof (SK Aring, Gua Musang), Ust Rosdi b. Ab. Rahman (SK Kem, Pengkalan Chepa), Cgu Ruhani bt. Ismail (SK Pasir Pekan, Tumpat) dan Cgu Roslimy b. Mohamed (SK Tiong, Kota Bharu). Kehadiran mereka sungguh bermakna dan mengungkit kembali nostalgia lama. Mereka inilah juga tenaga-tenaga penting setiap kali mengadakan kem-kem seperti ini. Semoga jumpa lagi, ila lliqa'...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan